Hanya Jemaah Menteri perlu letak jawatan, Speaker Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara tak terjejas, kata Rais

Hanya Jemaah Menteri perlu letak jawatan, Speaker Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara tak terjejas, kata Rais

Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim berkata jika tiada usul maka tak timbul untuk letak jawatan kerana entiti Parlimen asing berbanding Eksekutif.

Rais Yatim berkata, jika tiada usul dikemukakan dari kerajaan, maka individu yang menyandang kedua-dua jawatan itu tidak terjejas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hanya Jemaah Menteri perlu ikut meletak jawatan sebaik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya dan tidak Speaker Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara.

Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim berkata, tidak timbul isu Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat perlu meletak jawatan kerana ia memerlukan usul daripada kerajaan untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, jika tiada usul dikemukakan dari kerajaan, maka individu yang menyandang kedua-dua jawatan itu tidak terjejas.

“Ia hanya membabitkan ahli Jemaah Menteri. Di bawah Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, apabila Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, seluruh ahli Jemaah Menteri juga meletakkan jawatan.

“Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu mengemukakan usul khas untuk ganti Speaker atau Timbalan Speaker,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Rais berkata, jika tiada usul maka tak timbul untuk letak jawatan kerana entiti Parlimen asing berbanding Eksekutif.

“Seperti yang berlaku terhadap Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, waktu itu ada usul dari kerajaan yang mengetengahkan (untuk melantik) Speaker Dewan Rakyat sekarang (Azhar Azizan Harun),” katanya.

Satu lagi jawatan lantikan politik ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang disandang oleh Abdul Ghani Salleh.

Ditanya adakah beliau masih kekal dengan jawatan itu selepas Muhyiddin meletak jawatan perdana menteri, Abdul Ghani berkata ‘masih kekal’.

Bekas EXCO Pemuda Bersatu, Mohd Muzzammil Ismail, yang sekarang ini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), mempersoalkan gesaan pihak tertentu supaya orang politik yang dilantik dalam agensi kerajaan meletak jawatan.

Alasan Muzzamil yang sebelum ini pernah bertanding sebagai calon Ketua Pemuda Bersatu berkata, beliau bukan lantikan politik tetapi korporat.

“Janganlah kaitkan urusan politik dengan perjawatan. Tak semua lantikan politik. Kenapa nak letak jawatan sukarela pula? Jika PTD (Pegawai Tadbir Diplomatik atau pengarah dilantik sebelum ini (sebelum Muhyiddin letak jawatan) kena letak jawatan?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.