Bersatu akan cabar saman RM12.5 juta difailkan peguam

Bersatu akan cabar saman RM12.5 juta difailkan peguam

Mahkamah Tinggi mengarahkan parti politik itu memfailkan pembelaannya menjelang 3 September.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, RM12.5 juta itu adalah untuk khidmat guaman yang diberikan sebelum Bersatu ditubuhkan sehingga ia meninggalkan Pakatan Harapan dan membentuk Perikatan Nasional tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Bersatu akan mencabar saman difailkan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mendakwa parti itu berhutang yuran guaman sebanyak RM12.5 juta kepadanya.

Peguam Nurul Huda Razali, yang mewakili Haniff berkata, Mahkamah Tinggi mengarahkan pemegang jawatan parti itu memfailkan pembelaan mereka menjelang 3 Sept ini.

“Tarikh akhir itu diberikan susulan pengurusan kes dalam talian di hadapan penolong pendaftar kanan,” katanya sambil menambah pengurusan kes berikutnya ditetapkan pada 10 Sept.

Chetan Lachman Jethwani mewakili Bersatu.

Bersatu, yang diketuai Perdana Menteri “caretaker”, Muhyiddin Yassin, disaman bulan lalu selepas parti itu gagal memberi maklum balas terhadap peringatan itu.

Haniff, dalam pernyataan tuntutannya berkata, invois bayaran sudah dikeluarkan pada 11 Feb lalu kepada presiden parti itu Muhyiddin, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dan Bendahari Mohamed Salleh Bajuri.

Ketiga-tiganya dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam pernyataannya, Haniff berkata, wang itu adalah untuk khidmat guaman yang diberikan sebelum Bersatu ditubuhkan sehinggalah ia meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk Perikatan Nasional tahun lalu.

Haniff berkata, sebelum pilihan raya umum ke-14, beliau mewakili parti itu dalam saman kleptokrasi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa terhadap perdana menteri ketika itu, Najib Razak serta pentadbirannya.

Menurut pernyataan itu, perkhidmatan Haniff berakhir 24 Feb 2020 susulan Langkah Sheraton, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.