‘Jangan kata tak ada duit,’ Santhara tuntut PH lunas manifesto jika kembali berkuasa

‘Jangan kata tak ada duit,’ Santhara tuntut PH lunas manifesto jika kembali berkuasa

Ahli Parlimen Segamat itu menyatakan beliau berdiri teguh bersama Perikatan Nasional.

Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara mahu sekurang-kurangnya 15 janji manifesto melibatkan kaum India dipenuhi jika PH membentuk kerajaan baharu.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) diberi peringatan supaya melunaskan janji manifestonya jika kembali membentuk kerajaan, kata Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara.

Santhara seorang daripada ahli PKR yang berpaling tadah menyokong Perikatan Nasional (PN)  menolak alasan terdahulu bahawa kerajaan tidak mempunyai wang untuk menunaikan 25 janji manifesto untuk masyarakat India.

“Lebih daripada 15 (janji manifesto PH) tidak memerlukan kewangan, cukup takat (setakat) niat untuk melaksanakannya. Saya berharap jangan pula abaikan tanggungjawab untuk kedua kalinya jika kerajaan PH kembali.

“Saya akan jadi MP pembangkang yang bertanggungjawab jika PH jadi kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Santhara turut menegaskan beliau tetap setia bersama PN.

Isnin lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, mengumumkan peletakan jawatannya selepas mengakui kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen, sekali gus menyebabkan kerajaan PN runtuh.

Susulan itu, Istana Negara berkenan melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri sementara, sebelum perdana menteri baharu dilantik.

Pemimpin tertinggi parti politik menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi mendapatkan pandangan mengenai penubuhan kerajaan baharu.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, mengarahkan semua Ahli Parlimen menyerahkan akuan berkanun (SD) menyatakan sokongan masing-masing terhadap calon perdana menteri selewat-lewatnya 4 petang esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.