
Dalam catatan di Twitter, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji Howard Lee berkata bilangan kes di negeri itu amat membimbangkan, tetapi tidak banyak telah dilakukan untuk membendung penularannya.
“Sejak sebulan lalu, unit rawatan rapi (ICU) di Perak beroperasi melebihi kapasiti maksimum,” kata ahli DAP itu.
“Menurut data, setakat 12 Ogos, katil ICU telah penuh dengan kapasiti 120% iaitu yang terburuk di negara ini pada waktu berkenaan.”
Beliau berkata, ini ditambah pula dengan keadaan teruk pusat penilaian Covid-19 di Kompleks Sukan Perak, serta kadar vaksinasi negeri itu yang “lembap”, yang disifatkannya membuktikan ketakcekapan Akmal.
“Dengan kadar jangkitan di Perak yang semakin meningkat, serta kadar kepositifan melebihi 1,000 kes sehari, adalah membimbangkan apabila Jabatan Kesihatan Negeri tidak mendapat sokongan sewajarnya.
“Apa yang dilakukan exco kesihatan, atau apa yang telah dilakukannya untuk meningkatkan kapasiti CAC bagi memenuhi keperluan yang begitu tinggi ini?
“Berapa pusat vaksinasi, sama ada statik atau bergerak, telah ditubuhkan bersama ADUN, kerajaan dan pembangkang?”
Lee turut mempertikaikan kekurangan usaha vaksinasi besar-besaran bagi sektor perindustrian, selain apa dilihatnya sebagai kegagalan Akmal mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu berkaitan pusat vaksinasi serta pendaftaran di MySejahtera.
“Data bulan lalu jelas menunjukkan beliau bukan saja tidak melaksanakan tugasnya, malah terbukti tidak mampu dan tidak cekap menangani tugas yang begitu besar ini,” katanya.
“Petugas barisan hadapan kesihatan di Perak melakukan yang terbaik dan sudah hampir sampai had kudrat mereka. Setiap mekanisme dalam penjagaan kesihatan negeri ini sudah melakukan apa saja yang terdaya dalam perang yang seolah-olah tiada penghujung ini.”
Katanya, sebagai exco bagi portfolio kesihatan negeri, Akmal sepatutnya memperuntukkan an menyediakan sumber bagi membolehkan sistem penjagaan kesihatan berjalan lancar.
“Namun, orang yang diberikan mandat bagi mewakili kerajaan negeri mengetuai misi ini tidak kelihatan,” katanya.