
Ahli DAP itu berkata, satu ujian penting bagi bakal perdana menteri adalah memastikan kepemimpinan terbaik dalam kesihatan awam, termasuk melantik menteri kesihatan yang cekap.
Bekas timbalan menteri pertahanan itu berkata, walaupun secara tradisinya kementerian yang dilihat penting melibatkan kewangan, dalam negeri serta pertahanan, wabak Covid-19 menjadikan peranan Kementerian Kesihatan juga amat penting.
Katanya, menteri kesihatan seterusnya mestilah pemimpin politik yang amat kompeten serta mampu memastikan sebarang perubahan dasar kesihatan dapat disampaikan secara yakin dan berkesan kepada Kabinet dan, lebih penting lagi, masyarakat umum.
Liew turut menggesa menteri kesihatan yang mengendalikan program vaksinasi kelak.
“Walaupun Khairy Jamaluddin melakukan tugas yang baik bawah pentadbiran Perikatan Nasional, beliau berdepan kesukaran kerana tidak menjalankan birokrasi kesihatan.
“Kita perlu membaharui sistem penjagaan kesihatan menjangkaui Covid-19. Wabak ini mendedahkan pelbagai kelemahan yang memerlukan kepemimpinan, semangat politik serta wawasan untuk bangkit semula,” katanya.
Liew turut menggesa Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah digantikan dengan memetik beberapa keputusan disifatkan “silap langkah” yang membawa padah.
Ini termasuk kelewatan dalam meluluskan vaksin oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta kit ujian oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP) bawah pemantauannya.
“Tindakan KP kesihatan berkeras menggunakan ujian RT-PCR dan teragak-agak menggunakan ujian RTK-Antigen telah memperlahankan proses ujian,” katanya.
Katanya, wujud juga keperluan untuk perkhidmatan awam yang kukuh dalam sektor kesihatan, dan ini boleh dilakukan dengan meletakkan pakar di setiap peringkat kementerian berkenaan.
Sebagai contoh beliau berkata ketua kewangan atau pemerolehan di kementerian berkenaan bukan saja mesti bijak dalam isu kewangan malah mesti mempunyai pengetahuan dan pemahaman mencukupi mengenai peranti perubatan.
“Mungkin Kementerian Kesihatan dapat menjadi tempat permulaan untuk melaksanakan perubahan bagi meningkatkan kepakaran dan pengkhususan dalam perkhidmatan awam, terutama memandangkan betapa pentingnya kesihatan awam pada masa ini malah akan datang.”