Polis beri jaminan keselamatan, ketenteraman awam terkawal

Polis beri jaminan keselamatan, ketenteraman awam terkawal

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani meminta orang ramai supaya tidak bimbang dan tidak membuat sebarang spekulasi.

Acryl Sani Abdullah Sani memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menimbulkan hasutan serta menggugat ketenteraman awam.
PETALING JAYA:
Polis memberi jaminan keselamatan dan ketenteraman awam di dalam negara terkawal, selepas perdana menteri dan Kabinet meletak jawatan hari ini.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani meminta orang ramai supaya tidak bimbang dan tidak membuat sebarang spekulasi.

Katanya, polis akan memastikan keselamatan negara terus terjamin, selain meningkatkan pemantauan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.

“Polis juga sentiasa memantau senario keselamatan semasa dan akan mengambil tindakan tegas, jika terdapat mana-mana pihak menggunakan apa jua medium yang boleh menimbulkan hasutan serta menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi semua SOP dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Muhyiddin Yassin menyerahkan surat peletakan jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara tengah hari tadi.

Susulan itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri “caretaker” sehingga perdana menteri baharu dilantik.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 pada 1 Mac 2020 selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan yang memenangi pilihan raya umum ke-14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.