PM tiba di Perdana Putra bagi mesyuarat khas Jemaah Menteri

PM tiba di Perdana Putra bagi mesyuarat khas Jemaah Menteri

Perjumpaan itu dibuat sebelum Muhyiddin dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, berkaitan kedudukannya selaku perdana menteri.

Kenderaan membawa Muhyiddin tiba di Perdana Putra pada 8.07 pagi tadi. Beliau dijadual menghadiri perjumpaan dengan pegawai tertinggi kerajaan dan mesyuarat khas Jemaah Menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiba di Perdana Putra pagi ini bagi menghadiri perjumpaan bersama pegawai tertinggi kerajaan dan mesyuarat khas Jemaah Menteri.

Perjumpaan itu diadakan sebelum Muhyiddin dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara berkaitan kedudukannya selaku perdana menteri.

Menurut laporan Bernama TV, kenderaan membawa Muhyiddin tiba di Perdana Putra pada 8.07 pagi.

Sementara itu, kenderaan membawa Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dilihat memasuki pekarangan bangunan Perdana Putra pada 8.10 pagi, disusuli kenderaan membawa Peguam Negara Idrus Harun pada 8.29 pagi.

Turut kelihatan kenderaan yang membawa Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang tiba di bangunan itu.

Kenderaan-kenderaan yang dinaiki menteri Jemaah Menteri mula dilihat memasuki Perdana Putra sejak 9.30 pagi.

Antara yang kelihatan ialah kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Luar Negeri Hishammuddin Hussein, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin.

Semalam beberapa laporan media menyebut Muhyiddin dijangka meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri hari ini selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.