Taman rekreasi awam bawah Fasa 1 dibuka esok, kata PM

Taman rekreasi awam bawah Fasa 1 dibuka esok, kata PM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti jogging, berbasikal dan bersenam dibenarkan selari dengan SOP.

Ia adalah usaha memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutama mengurangkan tekanan dalam isu kesihatan mental, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju membenarkan taman rekreasi awam bagi negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuka berkuatkuasa esok, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ia adalah usaha memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutama mengurangkan tekanan dalam isu kesihatan mental.

Bagaimanapun katanya, aktiviti riadah dibenarkan adalah seperti jogging, berbasikal dan bersenam yang dilakukan secara individu.

“Orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja. Janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain.

“Kebenaran ini amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah. Jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi menjayakan kemudahan itu, beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab memantau pematuhan SOP di taman rekreasi awam berkenaan, mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan.

“Ia bagi memastikan aktiviti ini dapat dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang ditetapkan dan mengelakkan mudarat,” katanya.

Mengenai projek perintis destinasi gelembung pelancongan, Muhyiddin berkata kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas daripada pihak berkepentingan berhubung perancangan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis.

“Perancangan ini penting untuk kerajaan merancakkan semula industri pelancongan selepas lebih setahun terkesan akibat pandemik,” katanya.

Antara saranan yang diterima setakat ini adalah Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong hanya apabila kadar vaksinasi lengkap penduduk pulau berkenaan mencapai sekurang-kurangnya 80% daripada jumlah keseluruhan populasinya.

“Manakala, kumpulan yang dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi kelak adalah terhad kepada individu yang menerima vaksinasi lengkap.

“Cadangan ini sedang diteliti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri dan akan dimuktamadkan melalui beberapa lagi siri perbincangan selepas ini,” katanya.

Selain Pulau Langkawi, katanya, kerajaan juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di lebih banyak destinasi terutamanya yang mempunyai kaedah kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang baik seperti di pulau peranginan lain yang terdapat di seluruh negara.

“Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat perancangan dan kerajaan akan melihat hasil projek perintis (Pulau Langkawi) terlebih dahulu. Jika semua berjalan lancar, insya-Allah gelembung pelancongan akan dilaksanakan secara lebih meluas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.