
Bagaimanapun, pembukaan semula tidak akan berlaku untuk sekolah-sekolah di negeri-negeri yang berada di fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Penangguhan itu berlaku sehari selepas kerajaan didesak memberi vaksin kepada semua pelajar sekolah terlebih dulu, terutama mereka berusia 12 hingga 17 tahun, sebelum membenarkan sekolah dibuka semula pada 1 September seperti dijadualkan.
Menurut makluman Kementerian kesihatan pula, program vaksinasi pelajar sekolah akan bermula pada 15 September ini.
Dalam klip video di Facebook, hari ini, Radzi berkata kementerian memutuskan menangguhkan pembukaan semula sekolah melihat dari segi penilaian kesihatan dan risiko semasa.
Pembukaan semula sekolah akan dilakukan secara berperingkat, bermula pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam.
Kementerian akan memberikan lebih banyak perincian berdasarkan rancangan pemulihan dalam masa terdekat, katanya.
Radzi menerangkan, ketika pengumuman sekolah dibuka pada 1 September, dinyatakan bahawa ada kemungkinan tarikh akan berubah bergantung pada penilaian risiko yang dilakukan oleh kementerian kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Penilaian ini, katanya, juga akan menentukan pembukaan semula sekolah di negeri-negeri di fasa dua dan tiga PPN.
“Dan apa sahaja keputusan yang dicapai, adalah berdasarkan keselamatan anak-anak kita. Kami juga mempertimbangkan keadaan di masing-masing negeri, ” katanya.
Sebarang perubahan pada tarikh, katanya, akan diumumkan seminggu lebih awal.
Bulan lalu, kementerian pendidikan mengumumkan sekolah akan kembali dibuka bermula pada 1 September.
Tahun lalu, sekolah dibuka kurang dari setengah tahun kerana wabak itu, dengan guru dan pelajar beralih ke pembelajaran dalam talian.
Tahun ini, pelajar sekolah rendah kembali ke sekolah pada bulan Mac dan pelajar sekolah menengah menyambung pelajaran pada bulan April.
Namun, lonjakan kes pada Mei menyebabkan sekolah terpaksa ditutup semula bagi mengelak penularan Covid-19.