
LUAS menerusi kenyataan memaklumkan ujian pH yang dilakukan di longkang tersebut merekodkan bacaan 10 dan pensampelan efluen turut dilaksanakan bagi analisis lanjut.
Menurut LUAS, pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkaitan aduan orang awam mengenai kejadian ikan mati dengan jumlah yang banyak di sungai itu pada 12 Ogos.
Sehubungan itu, JAS, Jabatan Perikanan Negeri Selangor (JPNS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) menjalankan siasatan segera untuk mengenal pasti punca pencemaran.
“Siasatan berhampiran Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya menemui bangkai-bangkai ikan hanyut dan pensampelan in-situ yang dijalankan oleh LUAS di dua lokasi hulu sungai mendapati kandungan oksigen terlarut (DO) adalah baik, iaitu antara 3.2mg/l dan 4.33mg/l, manakala kandungan ammonia adalah 2mg/l,” menurut kenyataan itu.
Menurut LUAS, siasatan seterusnya mendapati terdapat ratusan ekor bangkai ikan di beberapa kawasan yang dipercayai mati akibat pencemaran sungai yang berkemungkinan berlaku sebelum penemuan pada 12 Ogos.
“Bagaimanapun, pensampelan yang dijalankan di lokasi ketiga ini mendapati kandungan DO juga baik iaitu 3.68mg/l serta ammonia 2mg/l.
“Namun siasatan menemukan air berwarna keruh di kawasan tersebut mengalir memasuki ke Sungai Penchala dan pensampelan kandungan nilai pH aliran air tersebut mencatatkan bacaan pH 12,” katanya.
LUAS memaklumkan, pihaknya menjalankan siasatan seterusnya ke Jalan Professor Koy Khee Kim dan mendapati keadaan longkang masih keruh dan pelepasan efluen disyaki berpunca daripada premis kilang yang sedang beroperasi di kawasan tersebut pada jarak 165m ke Sungai Penchala, sekali gus merekodkan ujian pH dengan bacaan 10.
Sementara itu, JPNS turut menjalankan pensampelan ikan dan air sungai di lokasi pencemaran bagi analisis lanjut, manakala SPAN menjalankan pemeriksaan di loji rawatan kumbahan IWK berhampiran Sungai Penchala.
“Berdasarkan penemuan ini, LUAS akan mengambil tindakan lanjut di bawah Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta, jika sabit kesalahan,” kata LUAS.