
Mustaffa berkata, dengan adanya undang-undang khusus tersebut, proses pendakwaan berkaitan buli siber tidak lagi perlu berpandukan akta-akta lain, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian) seperti sebelum ini.
“Buli siber kini berlaku dengan teruk sekali. Pada 2020, CyberSecurity menerima 596 laporan buli siber atau gangguan jelik berbanding 201 laporan pada 2019.
“Bagi 2021 pula, setakat Julai, sebanyak 267 laporan diterima,” katanya ketika menjadi ahli panel program bicara etika siber Trolling: Sindiran atau Sandaran, anjuran CyberSecurity Malaysia yang disiarkan secara langsung di YouTube semalam.
CyberSecurity Malaysia adalah agensi keselamatan siber kebangsaan bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Mustaffa berkata, masyarakat juga perlu mempunyai kawalan kendiri seperti mempunyai sifat kesopanan, empati kepada orang lain serta memahami konsep “jejak digital” dalam menangani isu buli siber dan tidak bergantung kepada undang-undang semata-mata.
“Jejak digital atau ‘digital footprint’ adalah satu jejak yang ditinggalkan oleh setiap pengguna setiap kali melayari Internet, jadi berwaspada dengan apa yang anda layari kerana semuanya diketahui dan ia juga boleh dijadikan sebagai ‘modal’ untuk membuli anda,” katanya.
Buli siber bermaksud apa-apa tindakan yang sengaja dilakukan oleh individu atau entiti melalui komunikasi digital dengan tujuan atau niat untuk menyebabkan gangguan, kebimbangan, kesusahan, fizikal, psikologi, ekonomi, akademik atau bahaya-bahaya lain yang mengakibatkan bahaya, gangguan, kebimbangan dan kesusahan kepada mangsa.
Antara jenis buli siber dan gangguan jelik sering kali diterima adalah ugutan untuk menyebarkan video, profil palsu, mesej yang mengganggu, penyebaran maklumat palsu atau fitnah serta komen yang mengejek atau mengutuk.
“Jika terdapat gangguan siber, anda dinasihatkan melaporkan kepada pihak polis, tangkap layar gangguan yang diterima, lakukan ketetapan ‘privasi’ dalam media sosial, berkongsi dengan orang yang dipercayai dan jangan balas atau memberi respons kepada orang yang membuli anda,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kluster Penyelidikan ICT dan Islam Universiti Islam Antarabangsa Dr Mohamad Fauzan Noordin berkata, bagi membendung masalah buli siber, masyarakat terutamanya umat Islam seharusnya berpandukan apa yang telah diajar di dalam al-Quran.
“Saya mengambil contoh dalam surah al-Hujurat, terdapat pelbagai pesanan antaranya ‘fa ashlihu’ iaitu berdamai sesama sendiri, ‘la yaghtab’ iaitu tidak mengumpat antara satu sama lain serta ‘fatabbayyanu’ iaitu menyiasat dahulu sesuatu berita yang diterima,” katanya.
Selain polis, laporan mengenai buli siber juga boleh dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), talian kasih 15999, Mercy Malaysia, talian Befrienders, platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain, serta melalui cyber999.