
Ketua Setiausaha KKM, Mohd Shafiq Abdullah, berkata wad sedia ada juga telah dinaiktaraf dan dibuat penambahbaikan dari segi kemudahan dan peralatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang terbaik dapat diberikan kepada para pesakit.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago melalui surat bertarikh 11 Ogos kepada Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba mengenai tindakan kerajaan terhadap situasi membimbangkan di HTAR.
Maklum berkenaan isu keperluan sumber manusia yang dibangkitkan Charles, Shafiq berkata KKM telah memobilisasi kakitangan kesihatan dari fasiliti kesihatan di Selangor dan di luar Selangor secara bergilir untuk berkhidmat sementara di HTAR Klang.
“Sehingga 11 Ogos 2021, seramai 27 orang kakitangan kesihatan tambahan telah dimobilisasi bagi memantapkan lagi perkhidmatan kesihatan di HTAR.
“Mengambil perhatian keperluan penyediaan perkhidmatan ambulans di kawasan Lembah Klang, KKM meluluskan sewaan 23 unit ambulans daripada syarikat swasta untuk tempoh sebulan,” katanya.
Selain itu katanya, tahap kebersihan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR turut diberikan perhatian melalui kerja-kerja pembersihan dilaksanakan oleh syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital berdasarkan kekerapan dan skop kontrak.
Beliau berkata, pengurusan HTAR telah mengarahkan supaya kekerapan pembersihan di tandas-tandas HTAR dipertingkatkan daripada enam kali kepada lapan kali sehari selain menempatkan pekerja pembersihan secara tetap.
“Mengenai servis penyediaan makanan kepada pesakit, Jabatan Diatetik dan Sajian telah membuat penyelarasan serta merta bagi memastikan makanan pesakit di Jabatan Kecemasan disediakan dan dihantar mengikut jadual baharu yang diselaraskan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya talian ‘helpdesk’ telah disediakan bermula 30 Julai lalu, di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bagi membolehkan ahli keluarga mendapatkan maklumat terkini berhubung status kesihatan ahli keluarga yang terjejas akibat Covid-19.
“Pegawai khidmat pelanggan telah dimobilisasi di Jabatan Kecemasan & Trauma untuk sentiasa menguruskan panggilan daripada waris pesakit yang sedang menerima rawatan di jabatan tersebut,” katanya.