Bekas menteri kesihatan beri cadangan kurangkan sesak di PPV

Bekas menteri kesihatan beri cadangan kurangkan sesak di PPV

Ini termasuk mewujudkan sistem tempahan melalui laman web dan SMS.

Orang ramai berbaris panjang di luar PPV Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada Khamis. Ada yang terpaksa menunggu 4 jam bagi mendapatkan vaksin.
PETALING JAYA:
Susulan kesesakan yang berlaku di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara baru-baru ini, bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad memberi beberapa cadangan yang menurutnya dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor itu berkata, cadangannya yang pertama adalah supaya laman web menerima tempahan individu yang ingin menerima vaksin di PPV tertentu.

“Menerusi laman web, mana-mana individu dapat menempah tarikh vaksinasi mereka di PPV menggunakan pasport atau nombor kad pengenalan. Maksimum 300 orang sehari,” katanya kepada FMT.

“Turut boleh dibenarkan tambahan 50 orang dalam senarai menunggu jika ada yang tidak hadir atau membatalkan tempahan,” sarannya.

“Anda boleh hadir bila-bila masa pada hari tersebut, ini beri kelonggaran untuk jarakkan vaksinasi.”

Beliau turut mencadangkan sistem tempahan berasaskan SMS bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar dan yang mungkin tidak tahu bagaimana membuat janji temu melalui laman web.

“Jadi, jika ada ID PPV SMS, nombor pasport dan hari yang dipilih (untuk vaksinasi), maka ada sejenis sistem tempahan yang dapat mengelakkan kesesakan dan kemungkinan kluster di PPV,” katanya.

Dzulkefly, yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, menyebut bagaimana Selangor menggalakkan individu yang ingin mendapatkan vaksin untuk membuat janji temu dahulu di aplikasi Selangkah sebelum datang ke PPV bagi mengurangkan kesesakan dan masa menunggu.

Terdahulu, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, satu sebab kesesakan di PPV adalah orang ramai yang datang awal daripada janji temu.

Pada Khamis, FMT melaporkan keadaan kelam kabut dan tidak teratur di PPV Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor yang mengakibatkan orang ramai terpaksa beratur di bawah terik matahari.

Mereka juga perlu berbaris sejauh lebih 1km, malah ada yang menunggu sehingga empat jam untuk mendapatkan vaksin.

Selain video yang menjadi tular mengenai barisan panjang dan kurangnya kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), seperti penjarakan fizikal, kekecohan turut tercetus di media sosial mengenai video yang menunjukkan orang ramai bersesak berlindung daripada hujan di bawah satu khemah.

Koordinator PPV berkenaan, Zainal Eran berkata, kesesakan disebabkan 2,000 janji temu tambahan yang diterima daripada pihak berkuasa persekutuan sedangkan kapasiti harian PPV adalah sebanyak 6,000, namun tiada anggota keselamatan tambahan dikerahkan untuk membantu.

Pada hari sama, orang ramai menyerbu sebuah PPV di Sandakan, Sabah, setelah diumumkan bahawa peraturan akan dilonggarkan bagi individu yang lengkap vaksinasi, dan kerajaan negeri membenarkan vaksinasi secara “walk-in”.

Kesesakan turut berlaku di PPV di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa setelah fasiliti berkenaan dibuka bagi pendaftaran secara “walk-in” untuk bukan warganegara.

Sementara itu, berkenaan kekecohan di PPV Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, penting untuk lebih ramai anggota keselamatan dikerahkan bagi membantu mengawal orang ramai, dengan individu yang datang terlalu awal tidak dibenarkan masuk.

Teo juga bimbang kumpulan berisiko tinggi akan mengelak daripada mendapatkan vaksin kerana melihat orang ramai berkumpul di luar PPV.

“Saya turut berharap dapat melihat lebih banyak PPV beroperasi di Johor, terutamanya ketika kadar vaksinasi di negeri ini adalah kedua terendah dalam negara,” katanya.

“Menurut laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), terdapat 51 PPV di Johor, tetapi angka ini belum dikemaskini. Pada masa ini, sekurang-kurangnya 10 PPV tidak beroperasi.”

Walaupun Kulai ada dua PPV, kapasitinya hanya 3,000 sehari, “pastinya tidak cukup”, kata Teo.

“Saya terima banyak aduan mengenai kesesakan orang ramai,” katanya kepada FMT.

“PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sebelum ini berdepan masalah sama, dan mereka berjaya menyuraikan orang ramai setelah menguatkuasakan SOP dengan ketat. (Lain-lain) PPV dengan masalah kawalan orang ramai patut buat perkara yang sama.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.