
Beliau berkata sebarang keputusan yang bakal dibuat, termasuk oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, akan menentukan masa depan negara.
“Sebab fasa pertama (adalah) keabsahan mesti ditentukan. Apa cara dan kaedah, Agong mempunyai budi bicara sama ada di dalam atau di luar Dewan,” katanya dalam program sembang santai secara maya bersama cawangan Umno Pekan di Facebooknya.
Najib mengupas krisis politik di Perak pada 2009 yang menyaksikan Sultan Perak ketika itu, Sultan Azlan Shah, menentukan di luar dewan undangan negeri (DUN), Mohamad Nizar Jamaluddin sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti wakil rakyat.
Susulan itu, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) digantikan dengan BN.
“Jadi bersandarkan pada kaedah dan prinsip itu, maka apabila sampai pada pertikaian di peringkat Parlimen, ia juga boleh dilakukan di luar persidangan Parlimen atau pun di dalam Parlimen dalam bentuk undian kepercayaan, yang kita dengar mungkin akan dibentangkan pada tarikh yang belum dimuktamadkan lagi,” kata Najib.
Sementara itu, Najib juga berkata meskipun kerajaan PN pimpinan Muhyiddin terdesak dan hilang keabsahan, ia meminjam RM16 bilion dalam tempoh singkat.
“Semakin hilang keabsahan dan terdesak, semakin laju mereka pinjam duit,” katanya.
Beliau juga mendedahkan pinjaman kerajaan dari 27 Julai hingga 13 Ogos seperti berikut:
- 27 Julai: Pinjam RM5.5 bilion (bayar balik tahun 2030)
- 3 Ogos: Pinjam RM4.0 bilion (bayar balik tahun 2050)
- 9 Ogos: Pinjam RM2.0 bilion (bayar balik tahun depan)
- 13 Ogos: Pinjam RM4.5 bilion (bayar balik tahun 2028)
“Makin mahal ‘scheme of things 2.0’ dan harga durian ke. Bukan mereka yang bayar balik pun,” katanya.