
Mereka dipanggil untuk dirakam percakapan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Jurucakap kumpulan itu, Mohammad Asraf Sharafi berkata, tindakan polis melakukan siasatan terhadap mereka di bawah Akta Hasutan adalah melampau dan menyekat hak kebebasan rakyat untuk berhimpun dan bersuara.
“Ini merupakan intimidasi kepada aktivis yang menyuarakan pandangan dan hak sebagai rakyat, hak berhimpun, hak bersuara. Penggunaan Akta Hasutan sangat melampau dan menunjukkan ada pihak tak senang hati dengan pergerakan dibuat,” katanya kepada media selepas memberikan keterangan.
Asraf berkata, SSR akan terus menuntut Muhyiddin meletak jawatan sebelum 21 Ogos ini.
“Kami tak akan berundur dan akan terus menuntut sehingga perdana menteri letak jawatan. Kita beri masa kepada perdana menteri hingga 21 Ogos, jika tidak kita akan turun ke jalan sekali lagi,” katanya.
Selain Asraf, aktivis SSR yang turut dipanggil memberi keterangan ialah Mohammad Aishatri Abdullah, Nur Qyira Izzati Yusri, Tarmelinggem Pillai, Dobby Chew, Seven Doraisamy dan Amir Abdul Hadi.
Sebelum ini, SSR yang menganjurkan bantahan #Lawan di Kuala Lumpur pada 21 Julai lalu, mengulangi desakan Muhyiddin berundur atau menghadapi satu lagi himpunan pada 21 Ogos ini.
Kumpulan itu berkata, Muhyiddin gagal menerajui kerajaan dan menstabilkan keadaan politik sehingga menyebabkan negara bergelut untuk keluar daripada kesan pandemik Covid-19.