
Ibrahim Suffian dari Merdeka Center, berkata pembangkang juga tidak akan mudah menerima tawaran dikemukakan Muhyiddin, kerana pastinya tidak mahu melepaskan peluang mengambil alih pentadbiran.
Beliau berkata, kenyataan Muhyiddin tidak mahu “kleptokrat” menguasai semula kerajaan dilihat menuruti sikap Dr Mahathir Mohamad dan pihak berkaitan dengannya seperti Warisan. Terma berkenaan dianggap merujuk kepada Najib Razak.
Ibrahim berkata, ini kerana Mahathir dan sekutunya sebelum ini telah bersatu dan memperoleh cukup angka untuk berkuasa ketika itu kerana masih ada ruang untuk berunding.
Bagaimanapun, pendekatan berkenaan tidak akan berjaya susulan Muhyiddin dilihat Pakatan Harapan (PH) dan pihak sealiran dengan Mahathir, sebagai seorang yang mencuri mandat pilihan raya.
Ibrahim berkata, sebarang perundingan sepatutnya bermula selepas usul undi percaya di Parlimen.
“Kepemimpinan kanan DAP pastinya berat untuk menerima tawaran Muhyiddin kepada akar umbi, selepas PM (perdana menteri) dilihat sebagai seorang yang masuk melalui pintu belakang.
“Kebarangkalian tinggi pembangkang tidak akan menerima tawaran PM. Ini kerana, ia adalah peluang kepada pembangkang mengambil alih.
“Buat apa Anwar Ibrahim sekadar kekal menjadi ketua pembangkang bertaraf menteri jika beliau sendiri boleh menjadi Perdana Menteri?” katanya kepada FMT.
Ibrahim berkata, pendedahan Muhyiddin hari ini, menunjukkan penarikan sokongan Umno memberi akibat teruk terhadap dirinya dan “gula-gula” yang dijanjikan kepada pembangkang, termasuk Anwar sebagai menteri berportfolio, dianggap sebagai rasuah.
Katanya, sentimen pengundi juga dilihat kekal berpecah terhadap pihak berkuasa dengan sebahagian mahu ketidaktentuan politik berakhir dan sebahagian pula mahu mandat sedia ada dipenuhi sehingga pilihan raya seterusnya susulan wabak.
“Namun, ia masih sukar diterima oleh sebahagian lain. Mengapa ingin kekal kepada ‘status quo’, mari lalui usul undi tidak percaya,” katanya.
SUBHEAD – Kematangan politik sekiranya pembangkang menerima genjatan
Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia, berkata tawaran Muhyiddin memaparkan kesulitan selain menunjukkan beliau berada dalam keadaan sangat lemah, di mana seterunya dijangka “menamatkan riwayat” Perdana Menteri itu.
Katanya, ketika ini, wujud dua kem bertarung untuk berkuasa, iaitu 14 Ahli Parlimen Umno yang berkehendak menjadi ‘kingmakers’ dan Mahathir, termasuk kumpulan politik lain.
Kesemua Ahli Parlimen Umno sudah menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebelum ini.
Azeem berkata, walaupun Muhyiddin mempunyai sokongan 100 Ahli Parlimen, beliau masih berkuasa kerana jumlah dokongan melebihi Anwar.
“Bagaimanapun, kita tidak tahu ke arah mana undi daripada 14 Ahli Parlimen ini akan pergi. Kita masih dalam kekusutan politik,” katanya yang juga Pengarah Pusat Pengajian Antarabangsa dan Kajian Dasar, kepada FMT.
Katanya, beliau tidak melihat situasi di mana berlakunya kematangan politik dan kenegaraan muncul, ketika rakyat dibelenggu kebimbangan paling teruk akibat pengangguran, ekonomi lemah dan wabak Covid-19.
“Apa yang kita saksikan sekadar permainan kuasa politik. Apa yang saya lihat adalah rayuan kepada semua ahli politik untuk bekerja dengannya. Jika Muhyiddin letak jawatan, siapa pula yang akan diundi?
“Ia akan kembali kepada asal semula seperti mana selepas Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM tahun lalu. Ketidaktentuan politik hanya akan muncul selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Jual beli sokongan kekal berlaku kerana tiada seorang pun yang mempunyai kekuatan,” katanya.