Insiden tembakan di Kem TUDM Sarawak, 3 dipercayai maut

Insiden tembakan di Kem TUDM Sarawak, 3 dipercayai maut

Sekurang-kurangnya empat anggota TUDM terlibat dalam insiden yang berlaku jam 7.15 pagi tadi.

PETALING JAYA:
Satu insiden tembakan berlaku di Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Samarahan, Sarawak awal pagi tadi.

Bernama melaporkan sekurang-kurangnya empat anggota TUDM terbabit dalam insiden yang berlaku pada 7.15 pagi tadi.

Sementara itu, Astro Awani melaporkan sekurang-kurangnya tiga anggota TUDM dipercayai maut dan seorang lagi cedera parah dalam kejadian itu.

“Punca kejadian masih lagi dalam siasatan. Bagaimanapun mengikut laporan awal, tiga anggota maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan dirawat di Hospital Jantung Kota Samarahan,” kata sumber yang dipetik Astro Awani.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail yang dihubungi Astro Awani mengesahkan insiden berkenaan.

Katanya, pihaknya turut menerima laporan mengenai kejadian tembakan bagaimanapun maklumat lanjut mengenai mangsa belum dapat dipastikan.

“Ya, kita ada terima laporan tersebut dan sedang menyiasat punca kejadian. Mengenai maklumat mangsa masih lagi menunggu laporan penuh. Pihak polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung kes ini dalam waktu terdekat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.