
Dalam sepucuk surat, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Zaini Jass berkata, cuti semua anggota dibekukan sebagai persiapan untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi “Op Aman”.
Bagaimanapun menurut surat itu, pengecualian hanya diberikan kepada kecemasan dan kebajikan serta alasan lain yang munasabah, tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan.
Walaupun surat itu tidak menyatakan tujuan Op Aman, sumber memaklumkan kepada FMT bahawa ia adalah persiapan untuk menghadapi himpunan pada 21 Ogos ini anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR).
Sumber turut mengesahkan kesahihan surat berkenaan.
“Untuk semua pengarah jabatan, pesuruhjaya polis negeri dan ketua polis, sila pastikan arahan ini disampaikan untuk dipatuhi sepenuhnya oleh semua pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis di bawah seliaan masing-masing,” kata Zaini dalam surat itu.
SSR sebelum ini mengadakan perhimpunan awal bulan lalu dengan penyertaan kira-kira 1,000 belia untuk menyuarakan bantahan terhadap kerajaan.
Protes itu berlangsung secara damai dan berakhir dalam dua jam, tetapi polis memanggil beberapa peserta untuk disoal siasat.
Sebelum ini, SSR mengulangi gesaannya supaya Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin meletak jawatan atau perhimpunan #Lawan akan diadakan 21 Ogos ini, jika beliau gagal berbuat demikian.
Kumpulan itu berkata, Muhyiddin gagal memimpin kerajaan dan menstabilkan keadaan politik negara sehingga menyebabkan negara sukar pulih daripada pandemik Covid-19.