
Sambil menggelarkan Azhar sebagai “man of principle”, Ahmad Shabery Cheek berkata, Speaker Dewan Rakyat itu sudah pasti mengetahui tentang jumlah sokongan yang dimiliki Muhyiddin ketika ini dan boleh mengesahkannya.
“Isu terbesar kini, apakah benar beliau menulis surat kepada Istana tentang kerajaan sekarang sudah hilang majoriti? Masih adakah integriti tanpa majoriti? Pastinya ‘man of principle’ boleh mengesahnya kerana banyak keputusan kerajaan harus dibuat dalam tempoh ini,” katanya di Facebook.
Dalam nada berkias beliau turut mempersoalkan sama ada Azhar akan membiarkan sahaja gerakan membeli wakil rakyat untuk menyelamatkan pihak tertentu kekal berkuasa sebelum bersetuju mengesahkan jumlah sokongan wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin.
“Lompat kerusi adalah mukadimah kepada rasuah yang lebih besar. Lebih lama masa diberikan lebih rancak jual beli boleh berlaku. Saham naik turun setiap hari. Apakah ‘man of principle’ boleh tersenyum menyaksikannya?,” katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman.
Sebelum ini tersebar berita yang dilaporkan sebuah portal bertajuk “Perdana Menteri terima surat Speaker maklum tiada majoriti, mahu bubar Parlimen” yang memetik Azhar sebagai berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Muhyiddin.
Azhar kemudiannya menafikan laporan yang memetik beliau memaklumkan bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti.