
Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib mendapati 76% orang dewasa di Sarawak sudah divaksin sepenuhnya, iaitu mewakili 55% daripada populasi keseluruhannya.
“Apa yang dilakukan Sarawak boleh membantu membuka laluan kepada cara yang kita patut teruskan pada masa depan dari perspektif nasional. Ia termasuk memberi vaksin kepada kanak-kanak dan orang muda serta mempertimbangkan suntikan penggalak (booster),” katanya kepada FMT.
Semalam, Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Dr Sim Kui Hian berkata, kerajaan negeri meminta Kumpulan Penasihat Covid-19 Sarawak (Scovag) menilai sama ada kanak-kanak di bawah 18 tahun boleh diberikan vaksin Covid-19.

Borneo Post Online memetik beliau berkata, ini diputuskan selepas 31% atau 260 daripada 836 kes positif semalam membabitkan individu berusia 18 tahun ke bawah.
“Disebabkan populasi Sarawak sudah divaksin mendahului negara dan kira-kira 29% populasi kami lebih muda daripada 18 tahun, kami tidak patut tunggu dasar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan kami sudah meminta Scovag menilai kumpulan ini untuk vaksinasi,” katanya di Facebook.
Azrul berkata, semakin ramai kanak-kanak dan orang muda dijangkiti di Sarawak, bahkan ada yang meninggal dunia.

“Walaupun program vaksinasi mencapai kejayaan besar, Sarawak masih menyaksikan peningkatan kadar kes positif yang menunjukkan individu yang tidak divaksin menghadapi risiko besar, khasnya orang muda dan tidak divaksin.”
Katanya, manfaat memberi vaksin kepada kanak-kanak dan orang muda dalam kumpulan umur itu melebihi risikonya.
Dr Kew Seih Teck, perunding pakar pediatrik di Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan Universiti Malaysia Sabah berkata, tinjauan dalam kalangan pakar pediatrik mendapati majoritinya menyokong vaksinasi kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun.
“Sebagai pakar pediatrik, kami memulakan tinjauan dalam kalangan kami sendiri dan keputusannya menunjukkan 80% bersetuju dengan vaksinasi kanak-kanak dalam kumpulan umur itu.”