
Pindaan itu termasuk memastikan jumlah pengundi hampir sama dalam setiap kawasan di negeri terlibat dan setiap wakil rakyat hanya mewakili satu daerah pentadbiran.
Ahli sains politik Wong Chin Huat yang menulis laporan bertajuk “The Study of State Assembly Constituencies for Penang, Selangor and Negeri Sembilan” untuk Bersih 2.0 berkata, kajian menunjukkan wujud pembahagian sempadan tak seimbang di tiga negeri itu.
“Ada keperluan untuk negeri berkenaan menambah lebih kerusi di Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya dalam satu acara maya.
Beliau mencadangkan kerajaan Pulau Pinang menambah tiga kerusi negeri, manakala masing-masing satu di Selangor dan Negeri Sembilan.
Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata, negeri yang cenderung kepada pembaharuan itu patut menerajui penyelesaian isu sempadan pilihan raya jika kerajaan persekutuan enggan berbuat demikian.
Katanya, masalah berkaitan salah pembahagian sempadan akan menjadi lebih serius apabila usia mengundi diturunkan kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik (AVR) dilaksanakan kerana golongan muda kebanyakannya tinggal di kawasan bandar disebabkan mereka belajar dan bekerja di situ.
“Buat masa ini bilangan pengundi di kawasan bandar adalah lebih tinggi berbanding di luar bandar malah ada sehingga tiga atau empat kali ganda.
“Ketakseimbangan ini mungkin meningkat enam hingga lapan kali ganda selepas Undi18 dan AVR berkuat kuasa,” katanya.