
Perdana menteri berkata, perkara itu akan diputuskan kerajaan selewat-lewatnya bulan depan sebaik sahaja kajian ke atas golongan yang menolak vaksin atau antivaksin selesai sepenuhnya.
Katanya, sekiranya dilaksanakan kelak, individu yang enggan menerima suntikan dos vaksin Covid-19 boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang sedia ada.
“Kita akan mengkaji terlebih dahulu jika kumpulan antivaksin ini tidak mahu menerima vaksin kerana berpenyakit atau sengaja tidak percaya dengan vaksin.
“Dengan pelbagai varian seperti Delta, penerima vaksin juga boleh dijangkiti disebabkan mereka (antivaksin) yang kemudian memberi masalah kepada negara,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi Taman Tamadun Islam (TTI) yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzah Hashim.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sebanyak 590,000 lagi dos vaksin akan dihantar ke Terengganu bulan ini untuk meningkatkan peratusan penerima vaksin negeri berkenaan.