Beli makan keluarga pun tak mampu, macam mana nak bayar lesen, cukai jalan, kata pemandu teksi

Beli makan keluarga pun tak mampu, macam mana nak bayar lesen, cukai jalan, kata pemandu teksi

Gabungan Teksi Malaysia menghantar surat rayuan kepada JPJ supaya menangguhkan arahan mewajibkan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu selewat-lewatnya 30 September.

Pemandu teksi terjejas teruk dan hilang pendapatan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 menyebabkan mereka kekurangan pelanggan.
PETALING JAYA:
Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) merayu kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya pemilik kenderaan yang gagal memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan mengikut tarikh ditetapkan tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Presiden GTSM, Kamaruddin Hussain berkata, pihaknya sudah menghantar surat rayuan kepada JPJ supaya menangguhkan terlebih dahulu arahan mewajibkan semua pemilik kenderaan khususnya perkhidmatan serta pengangkutan memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu selewat-lewatnya 30 September ini.

Katanya, rayuan itu dibuat selepas pihaknya terjejas teruk dan hilang pendapatan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan mereka kekurangan pelanggan.

“Malah pelaksanaan PKP 3.0 telah menyebabkan kami kini tidak lagi mampu membeli makanan untuk keluarga kami, apatah lagi memperbaharui lesen, cukai jalan seperti diarahkan oleh JPJ.

“Sehubungan itu, kami memikul tanggungjawab untuk membuat rayuan kepada Ketua Pengarah JPJ supaya ketetapan tersebut dimansuhkan dahulu kerana ketika ini rakyat khususnya kami daripada sektor pengangkutan sedang dalam kesusahan,” katanya dalam kenyataan selepas menghantar surat rayuan kepada Ketua Pengarah JPJ, Zailani Hashim di Putrajaya.

Kamaruddin turut menyarankan supaya JPJ melihat keupayaan kaunter mereka menerima kehadiran pelanggan yang ingin membuat urusan memperbaharui lesen dan sebagainya.

“Ketika ini segala urusan di kaunter JPJ mahupun pejabat Pos perlu melalui temu janji, kami turut menerima rungutan tempoh menunggu temu janji terlalu lama.

“Oleh itu, kami mencadangkan agar penangguhan memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan diberikan sehingga berakhir pandemik Covid-19 atau selewat-lewatnya pada 31 Disember 2021, namun bergantung kepada pelaksanaan PKP dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Dengarkanlah denyut nadi rakyat,” katanya.

Katanya, salinan surat rayuan itu turut diserahkan kepada Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.