Mahkamah tolak permohonan SPSB kembalikan saman terhadap bekas Ahli Parlimen Muar

Mahkamah tolak permohonan SPSB kembalikan saman terhadap bekas Ahli Parlimen Muar

Panel Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan SPSB itu dengan kos RM30,000.

Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) gagal mendapat izin merayu berhubung saman fitnah RM100 juta terhadap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Razali Ibrahim. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) untuk kebenaran merayu berhubung saman fitnah RM100 juta oleh syarikat itu terhadap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Razali Ibrahim berhubung kenyataannya membabitkan projek Kuala Lumpur Vertical City Project (KLVC) di Jalan Semarak.

SPSB, selaku pemohon, meminta kebenaran untuk merayu dalam usaha untuk mengembalikan semula samannya yang dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi dan seterusnya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Vernon Ong Lam Kiat dan Abdul Rahman Sebli, sebulat suara menolak permohonan itu dengan kos RM30,000.

“Kami tidak berpuas hati bahawa pemohon (SPSB) telah memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (supaya kebenaran diberikan). Oleh itu, kami menolak permohonan pemohon,” kata Tengku Maimun pada prosiding yang dijalankan secara maya hari ini.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan daripada peguam SPSB Annou Xavier dan Brian Ernest Cumming, yang mewakili Razali, yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, Johor.

Pada 13 Mac 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Razali untuk membatalkan saman itu, apabila memutuskan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau tidak memfitnah syarikat pemaju hartanah tersebut.

Pada 24 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan menolak rayuan yang dikemukakan SPSB dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Razali memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada Oktober 2018 atas alasan tiada kausa tindakan munasabah untuk syarikat pemaju itu menyamannya.

SPSB memfailkan saman itu pada 16 Julai 2018, mendakwa Razali membuat beberapa kenyataan mengenai penglibatan SPSB sebagai pemaju utama projek KLVC di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan mendakwa kenyataan yang dibuat oleh Razali telah mencemarkan reputasi syarikat berkenaan.

Syarikat itu menuntut ganti rugi RM100 juta serta permohonan maaf dan memohon perintah injunksi supaya Razali dihalang daripada mengulangi atau menerbitkan kenyataan berunsur fitnah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.