Hutang PTPTN turut jejas peluang wanita untuk berkahwin, kata PSM

Hutang PTPTN turut jejas peluang wanita untuk berkahwin, kata PSM

Ketuanya, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, berkata masyarakat seolah-olah sukar menerima wanita yang membawa beban hutang PTPTN yang boleh mencapai sehingga RM150,000.

Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, masyarakat seolah-olah sukar menerima wanita yang membawa beban hutang PTPTN, yang boleh mencapai sehingga RM150,000, sebagai isteri.
PETALING JAYA:
Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tinggi mungkin secara tidak langsung mempengaruhi peluang wanita untuk berkahwin, kata Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Katanya, selain peminjam perlu melalui tempoh pembayaran semula yang luar biasa panjang kerana terperangkap dengan pendapatan sederhana, mereka tamat pengajian dengan beban pinjaman yang besar dan sukar mendapat pekerjaan.

Jeyakumar, yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Siput berkata, ini adalah perkara biasa dalam kalangan graduan paramedik seperti jururawat, ahli fisioterapi dan radiografi, yang berlebihan sejak sedekad lalu akibat perancangan tenaga kerja yang lemah dan “pengaruh korporat”.

“Masyarakat kita yang didominasi lelaki seolah-olah sukar menerima wanita yang membawa beban hutang dari RM60,000 hingga RM150,000 seumur hidup menerusi pinjaman PTPTN sebagai isteri. Ini tidak seharusnya berlaku,” katanya kepada FMT.

Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Jeyakumar berkata, ribuan graduan ini tidak dapat mencari pekerjaan atau tenaga mereka tidak digunakan sepenuhnya.

Ramai yang terlatih sebagai jururawat, ahli fisioterapi dan radiografi melalui program diploma tiga tahun terpaksa bekerja di klinik atau sebagai kakitangan bantuan dalam sektor swasta.

Yang lain terpaksa bekerja di Timur Tengah, meninggalkan keluarga mereka dan dalam beberapa keadaan ia menimbulkan pula isu domestik, tambahnya.

Beliau mengaitkan isu ini dengan “jerat korporat” dalam sektor pendidikan swasta di negara ini sejak beberapa dekad lalu, yang menyaksikan pengawal selia memberikan kuota untuk pelajar dalam sektor ini atas hubungan mereka dengan ketua-ketuanya, yang kebanyakannya adalah bekas penjawat awam kanan.

“Dengan kuota besar ini, dana PTPTN terjamin masuk ke dalam poket mereka selama bertahun-tahun memandangkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengiktiraf kursus di institusi-institusi ini dan pelajar mendaftar kerana yakin negara memerlukan mereka,” katanya.

Namun, situasi kini menjadi buruk kerana para graduan ini tidak mendapat pekerjaan yang baik dan ini menyebabkan mereka mengalami masalah membayar balik pinjaman, sementara PTPTN menanggung beban hutang sebanyak RM30 bilion yang sukar dituntut kembali.

Jeyakumar berkata, terdapat keperluan mendesak untuk memperbaiki keseluruhan sistem PTPTN, bukan hanya untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi juga mencari jalan untuk membantu ratusan ribu belia Malaysia yang terjejas akibat pinjaman.

“Kerajaan yang mewujudkan masalah ini, secara tidak sengaja atau sebaliknya, jadi menjadi tugasnya untuk menyelesaikannya. Semakin cepat, semakin bagus,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.