Umno dedah 14 SD Ahli Parlimen tarik sokongan terhadap Muhyiddin

Umno dedah 14 SD Ahli Parlimen tarik sokongan terhadap Muhyiddin

Surat disampaikan Presiden Umno kepada Agong bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos 2021 disiarkan menerusi akaun Facebook Umno Online yang juga media rasmi parti itu.

Surat penarikan sokongan 14 Ahli Parlimen Umno terhadap Perikatan Nasional dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diutus ke Istana Negara oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
PETALING JAYA:
Umno mengesahkan bahawa dua warkah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong mengandungi 14 surat akuan membabitkan Ahli Parlimen yang tidak lagi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Surat disampaikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos 2021 dengan pengesahan daripada peguam Santhra Segaran disiarkan menerusi akaun Facebook Umno Online yang juga media rasmi parti itu.

Menerusi surat yang dilampirkan itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Kimanis Mohamadin Alamin adalah antara 14 Ahli Parlimen Umno yang menandatangani surat menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Dalam surat bertarikh 30 Julai, Zahid mempersembahkan tandatangan surat pertama yang ditandatangani oleh Ahli Parlimen Umno kepada Agong.

Pada surat bertarikh 4 Ogos, Presiden Umno itu melampirkan senarai lengkap 14 Ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Ahli Parlimen yang menandatangani surat berkenaan ialah:

  • Najib Razak (Pekan)
  • Azalina Othman Said (Pengerang)
  • Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk)
  • Ahmad Nazlan Idris (Jerantut)
  • Ahmad Jazlan Yaakub (Machang)
  • Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang)
  • Ramli Mohd Nor (Tanah Tinggi Cameron)
  • Ahmad Maslan (Pontian)
  • Mohd Nizar Zakaria (Parit)
  • Noh Omar (Tanjong Karang)
  • Azeez Abdul Rahim (Baling)
  • Shamsul Anuar Nasara (Lenggong)
  • Bung Moktar Radin (Kinabatangan)
  • Mohamad Alamin (Kimanis)

Terdahulu, media melaporkan 14 Ahli Parlimen Umno membuat keputusan untuk patuh kepada keputusan parti menarik balik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin, namun beberapa wakil rakyat lain, termasuk mereka yang memegang jawatan tinggi kerajaan belum berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.