
Samling Plywood menyaman SAVE Rivers kerana menerbitkan kenyataan didakwa berunsur fitnah. Syarikat berkenaan menuntut permohonan maaf, injunksi yang menghalang SAVE Rivers daripada melaporkan tuntutan komuniti dan ganti rugi RM5 juta.
Gabungan organisasi tempatan dan antarabangsa, termasuk Bruno Manser Fund dan The Borneo Project, menyeru agar Samling menggugurkan tuntutan berkenaan.
Mereka berkata, tindakan litigasi strategik terhadap penyertaan awam (SLAPP) ini “seolah-olah direka untuk menyekat advokasi tempatan sekali gus membenarkan Samling meneruskan operasi pembalakannya”.
Bruno Manser Fund dan The Borneo Project dalam kenyataan berkata, komuniti di sekitar Sungai Baram dan Limbang telah berkempen memohon lebih ketelusan dan rundingan mengenai konsesi pembalakan yang diperakui di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) selama lebih setahun.
Kata mereka, komuniti yang terlibat dengan kempen #StopTheChop itu mendakwa, mereka tidak mendapat akses secukupnya kepada penilaian kesan alam sekeliling dan sosial yang menjadi asas konsesi pembalakan berkenaan.
Beberapa komuniti juga mendakwa rundingan tidak dibuat bersama mereka mengenai konsesi berkenaan sebelum mereka memberi persetujuan.
Mereka berkata, kumpulan komuniti menfailkan aduan dengan jawatankuasa penyelesaian pertikaian Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) yang membuka kes untuk cuba menyelesaikan konflik antara Samling dan komuniti Orang Asli.
Samling memfailkan tuntutan ketika proses pengantaraan sedang berjalan dan selepas MTCC memulakan perbincangan antara semua pihak terlibat, tambahnya.