Krisis air Terengganu, penduduk terjejas diberi 2 bulan pengecualian bayaran

Krisis air Terengganu, penduduk terjejas diberi 2 bulan pengecualian bayaran

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata inisiatif air percuma itu sebagai menghargai kesabaran penduduk terjejas susulan paip air yang pecah di dasar Sungai Terengganu.

Gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun pengguna di lima Dewan Undangan negeri (DUN) iaitu Tepoh, Batu Rakit, Buluh Gading, Manir dan sebahagian Dun Seberang Takir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Terengganu bersetuju membuat pengecualian bayaran selama dua bulan kepada penduduk di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang terlibat gangguan bekalan air sejak 2 Ogos lalu.

Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata inisiatif air percuma selama dua bulan itu sebagai menghargai kesabaran penduduk yang terjejas susulan paip air yang pecah di dasar Sungai Terengganu.

“Sebagai menghargai kesabaran dan simpati terhadap penduduk yang terjejas, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua pemegang akaun selama dua bulan selepas kerja baik pulih selesai dilakukan.

“Kerajaan negeri juga sedang menguruskan bekalan air minuman bersih kepada semua penduduk sehingga tempoh krisis selesai,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook.

Samsuri turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban ditanggung penduduk termasuk membekalkan mereka dengan air bersih.

Katanya, ketika ini, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sedang berusaha membaiki paip berkenaan dan berharap kerja baik pulih selesai segera.

Gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun pengguna SATU di lima Dewan Undangan negeri (DUN) iaitu Tepoh, Batu Rakit, Buluh Gading, Manir dan sebahagian Dun Seberang Takir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.