Tahniah Azizulhasni, anda juara di hati kami, kata warganet

Tahniah Azizulhasni, anda juara di hati kami, kata warganet

Warganet menyifatkan pingat perak yang diraih jaguh trek berbasikal negara itu sebagai hadiah kepada negara sempena bulan kemerdekaan.

Rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni Awang kerana menghadiahkan pingat perak Olimpik kepada negara. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong, pemimpin kerajaan dan warganet mengucapkan tahniah kepada jaguh trek berbasikal negara, Azizulhasni Awang yang berjaya membawa pulang pingat perak dari temasya Olimpik Tokyo 2020.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah terhadap kejayaan Azizulhasni, sekali gus melakar sejarah buat sukan lumba basikal trek negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian Azizulhasni sebagai pencapaian amat bermakna kepada Malaysia.

“Semestinya seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan Azizulhasni,” menurut kenyataan Istana Negara.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican, barisan kejurulatihan pasukan basikal trek negara dan seluruh kontinjen negara dalam Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan itu tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor itu melabuhkan tirainya hari ini.

“Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan.

“Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan,” katanya di Twitter.

Reezal pula berkata, walaupun Azizulhasni tidak dapat memenuhi impian peribadinya untuk menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama kepada negara, “The Pocket Rocketman” sentiasa menunjukkan semangat juang yang tinggi.

Di media sosial, Azizulhasni dihujani ucapan tahniah daripada warganet.

Pengguna Twitter @AkeemSharyzal berkata: “Ya allah bangganya bila tengok atlet Malaysia naik atas pentas untuk ambil pingat. Tahniah Azizulhasni Awang!”

@nuwrinnn berkata: “Perak untuk Malaysia. Tahniah Azizul! Hadiah untuk Malaysia pada bulan kemerdekaan!”

Hanisah Rahman berkata: “Ia mungkin (pingat) perak dalam Olimpik, tetapi kami rakyat Malaysia melihatnya sebagai pingat emas dalam mata kami. Terima kasih Azizulhasni Awang. Anda juara sebenar.”

Seorang lagi pengguna Twitter @umarsufee13 berkata: “Apa pun, anda adalah juara di hati kami semua! Tahniah Jijoe, tahniah Shah Firdaus! Syabas wira-wira negara!”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.