
Industri yang pernah dianggap bidang kreatif itu kini melihat pekerja berkemahiran tinggi daripada pelbagai latar belakang termasuk sains komputer, analisis data dan bidang teknikal seumpamanya turut memainkan peranan penting dalam persekitaran media moden, seiring golongan pencipta kandungan.
Bercakap dalam webinar anjuran Cemerlang bertajuk “Captains of Industry Forum: Growing a Media Empire”, Pengarah Urusan FMT Media Azeem Abu Bakar berkata sesebuah syarikat tidak wajar menyekat pekerja yang menampakkan potensi, selain sebarang keputusan berkaitan dengan organisasi mesti dibuat berdasarkan merit sekiranya mahu menjadi pemain utama dalam industri berkenaan.
“Kita mesti memiliki budaya untuk mengenal pasti bakat dan menaikkan pekerja-pekerja ini. Tidak boleh jika ada penyelia yang rasa tergugat kerana menganggap orang bawahan akan mengatasinya satu hari nanti. Mereka mesti mahu memastikan anak didik menjadi jauh lebih hebat daripada mereka.
“Saya fikir kita telah sampai pada peringkat perlunya melihat menjangkaui bangsa, agama, kepercayaan dan usia.
“Jika nampak ada bakat yang mampu menambah kepada nilai syarikat, kita mesti mengambil dan mengembangkan mereka serta melayan seadilnya.
“Jika ada pemikiran seperti itu, maka sebuah syarikat pasti terus berkembang.”
Azeem turut menekankan pentingnya mencari pekerja terbaik untuk mengisi sesuatu jawatan dan meletakkan mereka dalam keadaan yang mampu berjaya, sekalipun perlu memindahkan mereka untuk melakukan bidang tugas yang lebih bersesuaian dengan kemahiran mereka.
“Orang yang hebat menjadikan sesebuah syarikat juga hebat,” kata Pengarah Eksekutif Kumpulan Media Prima Berhad Rafiq Razali ketika menyuarakan persetujuan dengan pandangan itu.
Katanya, jika syarikat media mahukan pekerja yang kekal setia dan membantu memacu ke arah kejayaan, pihak pengurusan mesti sentiasa menyampaikan dengan jelas kepada pekerjanya betapa pentingnya hasil kerja mereka terhadap syarikat, selain peranan penting dimainkan mereka.
Beliau turut menganggap penting mewujudkan kolaborasi dalam keseluruhan organisasi supaya tiada jabatan yang rasa tersisih.
“Budaya yang hebat juga penting untuk memastikan tahap semangat yang sentiasa tinggi dalam sesebuah organisasi, seterusnya pekerja sentiasa gembira untuk datang bekerja dan memberikan hasil yang hebat.”
Azeem turut menekankan bahawa syarikat media tempatan mesti memandang ke arah pesaing luar serta mengejar kehebatan seiring pemain antarabangsa seperti CNN, BBC dan Al Jazeera, memandangkan pembaca kini semakin terpelajar dan tajam pemikiran, seterusnya memerlukan kandungan yang kualitinya lebih tinggi.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti dahagakan untuk berada di aras sama dengan pemain antarabangsa.
“Kita mesti mampu berfikiran seiring pembaca Malaysia yang berpendidikan. Kita perlukan kaedah bertaraf dunia dalam menghasilkan kandungan untuk memenuhi permintaan dan harapan orang ramai.”
Azeem berkata, peningkatan standard kandungan akan membawa kepada lebih banyak pengembangan, dan ini akan membawa syarikat tempatan ke arah menjadi jenama media yang diiktiraf di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.