750 petugas kesihatan di Kedah dijangkiti Covid-19

750 petugas kesihatan di Kedah dijangkiti Covid-19

Jumlah jangkitan golongan itu meningkat kepada 665 kes tahun ini sehingga 31 Julai lalu berbanding 85 kes tahun lepas.

Petugas kesihatan yang disahkan positif melibatkan semua peringkat umur antara 20 hingga 60 tahun dengan 69% daripadanya adalah wanita.
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah merekodkan 750 petugas di kemudahan kesihatan awam dan swasta di negeri itu dijangkiti Covid-19 sejak tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo berkata, jumlah jangkitan melibatkan petugas kesihatan meningkat kepada 665 kes dalam tahun ini sehingga 31 Julai lalu berbanding 85 kes tahun lepas.

“Sebanyak 85 kes berlaku tahun lalu dengan kadar insiden 0.36% daripada keseluruhan petugas kesihatan di Kedah.

“Data sehingga 31 Julai lalu pula merekodkan 665 kes atau kadar insiden 2.83% petugas kesihatan dijangkiti Covid-19, dengan pertambahan kadar itu adalah selari peningkatan kes Covid-19 di negeri ini,” katanya dipetik Kosmo.

Kata beliau, analisis lanjut data kes tahun ini menunjukkan petugas kesihatan yang disahkan positif melibatkan semua peringkat umur antara 20 hingga 60 tahun, dengan 69% terdiri daripada wanita.

“Kumpulan perjawatan utama yang paling ramai dijangkiti ialah perkhidmatan sokongan sebanyak 4.8%, penolong pegawai perubatan (3.9%), kejururawatan (3.3%) dan pegawai serta pakar perubatan (3%),” katanya.

Menurutnya, analisis selanjutnya menunjukkan 99.7% daripada kes sepanjang tahun ini adalah bergejala ringan atau tanpa gejala.

“Tiada kematian berkaitan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan dilaporkan sehingga 31 Julai lalu, dengan pecahan kes mengikut tahap klinikal adalah Kategori satu (tanpa gejala) 299 kes (44.9%) dan Kategori 2 (gejala ringan) 364 kes (54.7%).

“Seterusnya Kategori 3 (jangkitan paru-paru) satu kes (0.2%), Kategori 4 (perlu bantuan oksigen) satu kes (0.2%) dan tiada kes bagi Kategori lima (perlu bantuan pernafasan).”

Tambahnya, rekod JKN juga menunjukkan 59% daripada kes tersebut mendapat jangkitan di luar tempat kerja.

“Jangkitan di tempat kerja bagaimanapun masih berlaku dan memerlukan penambahbaikan segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.