
Bermula daripada harga RM30 hingga RM35, semua kit yang dijual menerusi laman sesawang eMedAsia itu sudah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan (KKM).
Ia juga diwujudkan menerusi kerjasama bahagian pelaburan MMA dan firma penjagaan kesihatan HS Bio.
Lebih banyak produk dan perkhidmatan akan ditambah selepas ini.
“Kit ujian kendiri ini mempunyai peranan penting dalam menguruskan kes Covid-19 di negara ini,” kata Pengerusi KOOP MMA Dr Thirunavukarasu Rajoo dalam kenyataan.
“Kami akan menambah tempahan perkhidmatan ujian RTK Antigen dan PCR yang boleh dibuat secara dalam talian.”
Pelanggan boleh memilih penyedia perubatan yang khusus untuk membeli kit mereka dan produk akan dihantar dalam tempoh 24 jam.
“Kedai ini akan memastikan orang ramai dapat membeli kit ujian kendiri berkualiti yang diluluskan pihak berkuasa,” kata Thirunavukarasu.
“Bagi memastikan keselamatan dan keberkesanannya, adalah penting untuk orang ramai mendapatkannya menerusi saluran yang betul.”
Dia berkata KKM telah memaklumkan bahawa hanya farmasi dan kemudahan penjagaan kesihatan sahaja yang boleh menjual kit ujian kendiri.
Katanya, terdapat perancangan untuk melakukan integrasi dengan aplikasi MySejahtera selepas ini.
Sehingga kini, terdapat enam kit ujian kendiri yang diluluskan MDA untuk kegunaan orang ramai iaitu:
- Ujian Pantas Antigen Salixium-COVID-19 ;
- Gmate® COVID-19 Ag Saliva untuk kegunaan di rumah;
- Peranti Ujian Pantas Antigen BERIGHT-COVID-19 ;
- Ujian Pantas Antigen ALLTest COVID-19;
- Ujian Pantas Antigen JusChek COVID-19 ; dan
- Kit Pengesanan Bersama Pantas Longsee 2019-nCoV Ag & Influenza A/B