
Katanya, indikator itu hanya akan menggantikan indikator sedia ada, iaitu kes baharu Covid-19, jika sekurang-kurangnya 50% penduduk dewasa di negeri dalam Fasa 1 itu sudah divaksin.
Katanya, kadar kemasukan kes bergejala adalah indikator lebih tepat untuk menilai sama ada lebih banyak aktiviti ekonomi atau sosial dibenarkan dibuka semula.
Penanda aras baharu itu adalah:
- Fasa 1 ke Fasa 2 – kadar kemasukan harian hospital untuk kes bergejala dikurangkan kepada 6.1 bagi setiap 100,000 penduduk
- Fasa 2 ke Fasa 3 – 3.0 kemasukan hospital kes bergejala bagi setiap 100,000 penduduk
- Fasa 3 ke Fasa 4 – kemasukan harian hospital ialah 1.3 bagi setiap 100,000 penduduk
Tengku Zafrul berkata, penanda aras lain juga perlu dipenuhi.
“Dalam penilaian untuk peralihan daripada satu fasa kepada fasa yang selanjutnya, ianya masih tertakluk kepada keperluan memenuhi kesemua indikator, termasuk penggunaan kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar vaksinasi penduduk dewasa,” katanya dalam kenyataan.
Kes bergejala dalam PPN merujuk pesakit Kategori 3, 4 dan 5, iaitu mereka yang menghidap radang paru-paru atau memerlukan bantuan pernafasan.
“Penilaian risiko bagi mempertimbangkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial akan lebih tepat, jika berasaskan bilangan kes bergejala kategori 3, 4 dan 5, berbanding jika dirujuk kepada jumlah kes baharu harian.
“Contohnya, walaupun kes harian di Sarawak mencecah 400 sehari, tetapi bilangan pesakit baharu Kategori 3, 4 dan 5 kurang daripada 10 pesakit atau 2% daripada kes harian.”
Katanya, penggantian kes harian dengan kemasukan hospital dibuat berdasarkan nasihat pakar kesihatan, pengalaman antarabangsa dan domestik, dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara dan Majlis Pemulihan Negara minggu ini.