Tiada tindakan lanjut terhadap guru buat jenaka rogol, kata polis

Tiada tindakan lanjut terhadap guru buat jenaka rogol, kata polis

Polis menerima notis tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes guru yang didakwa membuat jenaka rogol ketika di dalam kelas.

Menurut polis, mereka menerima notis tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes itu.
PETALING JAYA:
Tiada tindakan selanjutnya diambil terhadap seorang guru yang didakwa membuat jenaka berkenaan rogol ketika di dalam kelas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima notis tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung kes itu.

“Saya difahamkan Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan arahan NFA berhubung kes berkenaan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Semalam, pelajar perempuan Ain Husniza Saiful Nizam yang sebelum ini mendedahkan gurauan tidak wajar mengenai rogol oleh seorang guru memaklumkan dirinya menerima surat tuntutan RM1 juta kerana didakwa memfitnah.

Ain memaklumkan perkara itu menerusi Twitter tanpa menjelaskan dengan lanjut surat tuntutan itu berhubung isu berkenaan atau siapa yang memfailkannya.

Pelajar Tingkatan 5 itu menjadi tumpuan di media sosial Mei lalu selepas memuat naik video di TikTok memetik guru sekolahnya di Selangor berkata: “Jika kamu (pelajar) mahu merogol, jangan rogol seseorang bawah 18 tahun. Rogol orang melebihi 18 tahun.”

Beliau turut mendakwa menerima ugutan rogol daripada seorang pelajar lelaki sekolahnya.

Sementara itu bapa Ain, Saiful Nizam Ab Wahab memaklumkan pihaknya menerima surat tuntutan daripada Tetuan Rasshidi Ema & Yung dan telah dinasihatkan oleh peguamnya untuk tidak memberi sebarang komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.