Syed Saddiq dakwa Bersatu hantar Ketua Pemudanya, pujuk sokong PM dan PN

Syed Saddiq dakwa Bersatu hantar Ketua Pemudanya, pujuk sokong PM dan PN

Bekas menteri belia dan sukan itu menganggap tidak masuk akal tindakan Bersatu memujuknya selepas mendakwa dirinya mencuri dana parti.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau terjun ke politik untuk membersihkan politik.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa dirinya dihampiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal, bagi memujuk menyokong Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Syed Saddiq berkata, Bersatu menghantar Ketua Armadanya iaitu Wan Ahmad Fayhsal, sebelum bekas menteri belia dan sukan itu didakwa di mahkamah berkaitan penyelewengan dana milik Bersatu.

“Esok saya akan didakwa di mahkamah lagi sekali berkenaan isu dana parti Bersatu. (Kejadian) Pada 2018, bulan April.

“Yang pelik bin ajaibnya, parti yang tuduh saya curi duit parti menghantar ketua armadanya sebelum saya didakwa di mahkamah untuk pujuk saya kembali sokong perdana menteri dan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam video ringkas.

Difahamkan, pendedahan Syed Saddiq berlaku selepas Wan Ahmad Fayhsal dalam ciapan Twitter, mendakwa, Syed Saddiq melenyapkan wang milik Armada Bersatu.

“Duit Armada kena sapu, sampai kena charge CBT, AMLATFPUAA. ‘Financial record’ tak buat. Penerangan hancur. ‘Governance’ ke laut. Kepemimpinan baru naik tak ada apa-apa dokumen ditinggalkan. Bila budak tak habis belajar diberi amanah, mmg (memang) hancur organisasi!” katanya.

Namun, Syed Saddiq membuat ciapan balas, menyatakan jika dirinya cukup jahat mencuri duit Armada, “kenapa datang jumpa saya sebelum saya didakwa untuk sokong Perdana Menteri?”

“Truth will prevail (kebenaran pasti menang),” catat Syed Saddiq.

Katanya, beliau turut secara sinis menyindir Wan Ahmad Fayhsal dengan mengatakan,”Enjoy your “Surat sokongan” while it last (Berseronoklah dengan “surat sokongan” selagi sempat).

“Surat sokongan” merujuk janji dibuat Wan Ahmad Fayhsal ketika berkempen bertanding jawatan Ketua Pemuda Bersatu, tahun lalu.

Menurut sumber, esok, Syed Saddiq dijangka berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.