Saya ditekan campur tangan urusan mahkamah, bebas individu sedang didakwa, kata Muhyiddin

Saya ditekan campur tangan urusan mahkamah, bebas individu sedang didakwa, kata Muhyiddin

Perdana Menteri berkata sebaliknya beliau dituduh menderhaka kepada Majlis Raja-Raja sedangkan apa dilakukannya semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak akan mengorbankan prinsip dan membelakangi sumpah jawatan untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendakwa beliau menerima tekanan daripada beberapa pihak supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

Muhyiddin mendedahkan perkara itu dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen utama negara pada 12.30 tengah hari ini.

Presiden Bersatu itu berkata, di sebalik ketegasannya tidak melayani permintaan “kluster mahkamah” itu, beliau sebaliknya dituduh menderhaka kepada Majlis Raja-raja.

Katanya, segala tindakan yang dilakukan ketika ini adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.

“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah,” katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian untuk tidak mengorbankan prinsip dan membelakangi sumpah jawatan menunaikan segala kewajipan yang diamanahkan dengan jujur.

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya.

Antara ahli politik yang kini berdepan perbicaraan di mahkamah ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden parti itu, Najib Razak yang lantang mengkritik pentadbiran Muhyiddin dalam memerangi wabak Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.