
Bukan itu sahaja, sejumlah 120 hotel di seluruh negara terpaksa menutup perniagaan sementara atau sepenuhnya kerana kesan penularan wabak Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng, berkata industri perhotelan kehilangan pendapatan sekurang-kurangnya RM6.5 bilion sepanjang tahun lalu.
Menurutnya, bagi separuh pertama tahun ini pula, dianggarkan industri kehilangan pendapatan sebanyak RM300 juta setiap dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekurang-kurangnya RM5 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.
Beliau dipetik Harian Metro berkata, PKP dan larangan rentas negeri berpanjangan menyebabkan hotel ketiadaan pelanggan selain turut kehilangan punca pendapatan daripada restoran, penganjuran majlis, konvensyen, mesyuarat serta lain-lain.
“Setiap kali PKP diumumkan, hotel menerima pembatalan tempahan dan juga tidak dapat tempahan awal disebabkan keadaan yang tidak menentu.
“Industri perhotelan mengalami masalah aliran tunai disebabkan kehilangan pendapatan.
“Kebanyakan hotel masih berusaha untuk kekal beroperasi dengan pekerja sedia ada, namun tidak berkemampuan untuk menanggung kos operasi termasuk sumber manusia.
“Pinjaman ditawarkan juga ditetapkan dengan syarat-syarat bank komersial yang gagal dipenuhi.
“Walaupun ada bantuan penyelarasan pinjaman, ia tidak membantu sektor perhotelan dan pekerja hotel.
“Tawaran bank sekarang dengan kadar faedah tinggi menyebabkan pinjaman lebih tinggi untuk hotel dan pekerja industri ini,” katanya.