Tanggal gelang ‘pink’ untuk bersiar, remaja perempuan dikompaun RM5,000

Tanggal gelang ‘pink’ untuk bersiar, remaja perempuan dikompaun RM5,000

Polis berkata tindakan itu dibuat selepas polis meneliti video remaja berusia 17 tahun berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

Polis berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Kamunting, Taiping di Perak.
PETALING JAYA:
Hanya kerana mahu bersiar-siar di tempat awam, seorang remaja perempuan sanggup menanggalkan gelang merah jambu dan tindakan itu akhirnya membawa padah apabila dikompaun RM5,000.

Ketua Polis Daerah Taiping, Osman Mamat berkata, tindakan berkenaan dibuat selepas polis meneliti video remaja berusia 17 tahun itu tular di media sosial sejak semalam.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kejadian itu berlaku di Kamunting, Taiping, Perak.

“Selepas mengenal pasti video itu, polis berjaya mengesan lokasi remaja terbabit yang didapati menanggalkan gelang kuarantin tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, remaja terbabit menjalani ujian calitan pada Sabtu lalu namun keputusannya masih belum diperoleh dan difahamkan ketika kejadian itu remaja berkenaan dikatakan hanya singgah di rumah rakannya di kawasan berkenaan.

“Tindakan kompaun dikenakan kerana remaja itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” tambah beliau.

Terdahulu, tular di aplikasi TikTok video berdurasi 31 saat memaparkan seorang remaja yang memakai topi keledar menanggalkan gelang merah jambu di sebuah kediaman kerana difahamkan mahu keluar bersiar-siar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.