Kegiatan proses arak tiruan tumpas, rampasan RM2.14 juta

Kegiatan proses arak tiruan tumpas, rampasan RM2.14 juta

Arak tiruan yang dihasilkan disyaki menggunakan pelekat kastam palsu, kata Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya yakin ada lagi premis yang dijadikan tempat memproses arak tiruan dan akan melakukan siasatan bagi mengesan individu lain yang terlibat. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Batalion Kelima Pasukan Gerakan Am (PGA5) menumpaskan kegiatan memproses arak tiruan yang disyaki menggunakan pelekat kastam palsu dengan rampasan arak bernilai RM2.14 juta dalam satu serbuan semalam.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan dibuat oleh PGA5 Simpang Renggam bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Utara di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah pada 8.10 pagi.

Rumah berkenaan turut dijadikan tempat penyimpanan arak tidak bercukai, tambahnya.

Serbuan itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan dan empat lelaki warga asing berusia 27 hingga 41 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

“Kegiatan ini telah beroperasi sejak lima bulan lalu dan ia dipasarkan untuk pasaran tempatan dengan disyaki menggunakan pelekat kastam yang palsu.

“Kalau kita lihat jenama arak yang dirampas ini juga adalah mahal dan kalau orang biasa lihat, tidak akan dapat beza sama ada ia arak palsu atau tidak,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, rampasan lain dalam serbuan itu termasuk 20 tong biru berisi cecair pati arak dengan 40% kandungan alkohol, 20 gelen pati arak dengan 100% kandungan alkohol, 45 kotak jenama Jameson Triple Distilled Irish Whiskey dan 30 kotak jenama King Robert.

Selain itu, 28 kotak Jenama Chivas Regal Blended Scotch Whiskey, dua tong pati arak, dua unit pam air untuk memproses arak, dua unit mesin “bench drilling”, 20,000 pelekat kastam disyaki palsu, sebuah lori Daihatsu Delta dan sebuah Nissan Cefiro turut dirampas.

Dua individu tempatan yang ditahan direman selama 10 hari bermula hari ini, kata Ayob, manakala empat warga asing berkenaan selama 14 hari.

Beliau berkata, pihaknya yakin ada lagi premis yang dijadikan tempat memproses arak tiruan dan akan melakukan siasatan bagi mengesan individu lain yang terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 75 Akta Eksais 1976.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.