
Peguam utama, Hisyam Teh Poh Teik berkata, prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang dijadualkan pada 5, 6, 9, 11 dan 13 Ogos ini sudah dikosongkan.
“Penghujahan lisan (pada akhir kes pendakwaan) ditangguhkan ke 24 Ogos berdasarkan permohonan Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq semalam.
“Alasannya ialah pejabat (seorang peguam dalam pasukan peguam itu) terkesan akibat Covid-19 dan sudah ditutup untuk mengurangkan risiko pendedahan,” Hisyam beritahu FMT.
Beliau berkata, penghujahan lisan akan diteruskan bulan depan pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini.
Mac lalu, mahkamah menetapkan 28 Jun hingga 2 Julai untuk mendengar penghujahan, selepas pihak-pihak memfailkan hujah bertulis pada 28 Mei lalu.
Prosiding terganggu dan perbicaraan fizikal dihentikan akibat pandemik serta sekatan pergerakan berterusan.
Zahid, yang juga Presiden Umno dan Ahli Parlimen Bagan Datuk, menghadapi 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang membabitkan RM117 juta milik Yayasan Akalbudi.
Pada 19 Mac lalu, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 99 saksi.
Perbicaraan bermula 18 Nov 2019 dan kes itu dibicarakan selama 53 hari.