Belia protes di jalanan kerana kecewa, kata pakar

Belia protes di jalanan kerana kecewa, kata pakar

Syed Farid Alatas berkata, golongan belia sedar bahawa kerajaan tidak menguruskan negara dengan baik, terutama setelah kes dan kematian berkait Covid-19 melonjak.

Sabtu lalu, ratusan belia menyertai protes #Lawan, menunjuk perasaan di jalanan terhadap dasar kerajaan yang dikatakan gagal.
PETALING JAYA:
Ketidaktentuan mengenai masa hadapan di tengah-tengah krisis Covid-19 menyebabkan golongan belia melepaskan kekecewaan mereka di jalanan berhubung krisis ekonomi, kesihatan dan kepimpinan negara, kata seorang ahli sosiologi.

Syed Farid Alatas berkata, golongan belia sedar bahawa kerajaan tidak mengurus negara dengan baik, terutama setelah kes dan kematian berkait Covid-19 melonjak.

“Walaupun dengan sekatan pergerakan penuh, kes terus melonjak. Ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan mereka,” katanya kepada FMT.

Katanya, golongan belia Malaysia bukan sahaja khuatir tentang pekerjaan, tetapi juga “persepsi bahawa sistem kesihatan tidak mampu bertahan ketika wabak”.

Syed Farid Alatas.

“Belia mahukan perubahan. Mereka mahu melihat kemajuan, tetapi mereka tidak melihatnya.

“Mereka mahukan kepimpinan yang cekap dan bebas rasuah,” katanya, sambil menambah, Pakatan Harapan (PH) juga gagal membawa perubahan.

Sabtu lalu, ratusan belia menyertai protes #Lawan dengan menunjuk perasaan di jalanan terhadap dasar kerajaan yang dilihat gagal.

Bekas Ahli Parlimen Umno, Tawfik Ismail berkata, belia Melayu telah bertahun-tahun mengalami urbanisasi tetapi tercabar dari segi budaya memandangkan mereka hidup di kawasan sesak berbanding persekitaran yang lapang di kampung.

“Pelbagai perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan menjadikan kehidupan mereka menjadi semakin kurang selesa,” katanya kepada FMT.

Tawfik Ismail

“Apa yang mereka perlukan hanyalah ‘percikan’ seperti gerakan Bendera Hitam yang mengobarkan (semangat) dan juga ‘menghasut’,” katanya.

Beliau berkata, golongan belia kecewa dengan ketidaktentuan dalam perkembangan kerjaya mereka.

“Anak yang muda mencari nafkah sebagai penghantar barangan dan PKP meningkatkan permintaan bagi perkhidmatan mereka, tetapi ia juga menambah perbelanjaan mereka.

“Semua ini terkumpul dalam persekitaran yang menekan dan (tekanan ini) perlu dilepaskan,” katanya.

Ketidaktentuan politik memberi saluran kepada mereka yang kurang berpendidikan dan lebih beremosi untuk meluahkan kekecewaan.

“Hampir semua orang ada akses kepada telefon bimbit dan perkhidmatan pesanan,” katanya.

“PKP telah memicu imaginasi golongan belia dan menghalakan mereka ke arah yang belum pernah diterokai,” tambahnya.

Golongan belia yang tidak berminat dengan politik dan kurang bernasib baik dari segi ekonomi mencari ketentuan mengenai prospek kerjaya dan kesihatan mereka di tengah-tengah wabak.

“Mereka juga bimbang sama ada mereka akan ada pekerjaan setelah keadaan kembali normal,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.