Sambutan Aidiladha secara sembunyi, rentas negeri punca kes Covid-19 mencanak di Terengganu

Sambutan Aidiladha secara sembunyi, rentas negeri punca kes Covid-19 mencanak di Terengganu

Semalam, Terengganu merekodkan sebanyak 883 jangkitan baharu, jumlah kes paling tinggi dicatatkan negeri itu sejak wabak melanda.

Kerajaan Terengganu akan mempertingkat aktiviti kawalan dan saringan kontak rapat serta saringan di lokaliti berisiko yang telah dikenal pasti, kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.
PETALING JAYA:
Majlis keraian yang diadakan secara sembunyi oleh masyarakat menjadi antara punca kes positif Covid-19 melonjak di Terengganu, kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, aktiviti penduduk yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa sambutan Aidiladha baru-baru ini turut menyumbang kepada peningkatan kes.

“Termasuklah aktiviti merentas negeri dan daerah semasa perayaan (Aidiladha) walaupun ia tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan video yang dimuat naik di Facebook.

Selain itu, kata Samsuri, kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring dan mencetuskan kluster antara mereka turut menyebabkan kes melonjak.

Faktor lain yang menyebabkan lebih banyak kes dicatat adalah aktiviti saringan kontak rapat dan bersasar yang dilakukan di beberapa lokaliti di seluruh negeri, tambahnya.

Semalam, Terengganu merekodkan sebanyak 883 jangkitan baharu, jumlah kes paling tinggi dicatatkan negeri itu sejak wabak melanda.

Susulan itu, ujarnya, kerajaan negeri akan mempertingkat aktiviti kawalan dan saringan kontak rapat serta saringan di lokaliti berisiko yang telah dikenal pasti.

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan berusaha memohon tambahan bekalan vaksin supaya proses vaksinasi di kawasan kritikal, terutamanya di Kemaman dan Dungun, dapat dipehebat dengan kadar segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.