Penoreh getah mengaku bersalah rogol adik ipar OKU

Penoreh getah mengaku bersalah rogol adik ipar OKU

Perlakuan jijik tertuduh mula merogol ketika mangsa berusia 15 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar, tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh selepas mengambil kira hubungan mangsa dengan tertuduh iaitu abang ipar dan adik ipar. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang penoreh getah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini, membabitkan empat pertuduhan merogol adik iparnya yang juga orang kurang upaya (OKU) mental, pada 2018 dan awal bulan lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh berusia 54 tahun itu didakwa merogol mangsa ketika itu berusia 15 tahun dan mengetahui kecacatan mental mangsa di sebuah rumah di Tanah Merah, Kelantan pada jam 6.30 petang, pada akhir Oktober 2018.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang kini berusia 18 tahun, pada Julai tahun ini.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah, masing-masing pada jam 10.30 pagi pada 1 Julai lalu; 2 Julai (jam 9 pagi) dan 10 pagi pada 7 Julai lalu.

Tertuduh membuat pengakuan bersalah itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy, menurut laporan Berita Harian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan bagi empat pertuduhan itu yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga 30 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar, tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh selepas mengambil kira hubungan mangsa dengan tertuduh iaitu abang ipar dan adik ipar.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk memberi jaminan kepadanya atau sebaliknya.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 15 Ogos ini sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.