Petugas positif tapi PPV tutup ‘sekejap’ saja, kenapa lain layanan untuk Parlimen, tanya Najib

Petugas positif tapi PPV tutup ‘sekejap’ saja, kenapa lain layanan untuk Parlimen, tanya Najib

Bekas perdana menteri itu bertanya sama ada kerajaan menganggap nyawa 220 Ahli Parlimen lebih mahal berbanding nyawa rakyat.

Hari terakhir Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Dewan Rakyat yang dijadual esok telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, mempersoalkan penggunaan Covid-19 sebagai alasan menangguh sidang khas Parlimen ke tarikh yang belum ditentukan, sedangkan sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) hanya ditutup sehari, walaupun puluhan petugasnya dijangkiti virus itu.

“…Amat sukar bagi sesiapa untuk percaya bahawa PPV (Shah Alam) yang melibatkan puluhan ribu orang awam dibenarkan beroperasi semula hanya dua hari selepas 204 petugas dikesan positif tetapi Parlimen pula perlu ditutup bagi tempoh yang tidak lagi diketahui,” katanya dalam catatan di Facebook.

“Adakah kerajaan percaya bahawa nyawa 220 Ahli Parlimen lebih mahal berbanding ribuan orang awam yang lawat ke PPV Shah Alam tiap-tiap hari?”

PPV di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, diumumkan tutup pada 13 Julai lalu setelah 204 kes Covid-19 dikesan dalam kalangan petugas.

Di Parlimen, 11 kes positif dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) setelah 1,183 ujian dijalankan pada Khamis.

Semalam, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan hari terakhir sidang khas Dewan Rakyat yang dijadualkan esok ditangguh ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Katanya, penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa susulan perkembangan terbaru penularan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, Najib dan ramai Ahli Parlimen lain mengaitkan penangguhan sidang parlimen itu kepada kontrovesi pembatalan ordinan darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu oleh kerajaan yang mengundang teguran Istana Negara, kerana dibuat tanpa perkenan Yang diPertuan Agong.

Awal hari ini, veteran DAP Lim Kit Siang menyeru agar perdana menteri menamatkan “lockdown” di Parlimen bagi membolehkan Ahli Parlimen menangani wabak Covid-19 yang memburuk dan “krisis perlembagaan utama” di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Muhyiddin tidak boleh menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk “menyekat demokrasi berparlimen” di Malaysia.

“Ini (penangguhan Parlimen) melambangkan kurangnya kredibiliti dan keabsahan (kerajaan), dan kegagalannya untuk mengawal wabak Covid-19,” kata Lim.

“Penutupan Parlimen pada Isnin bukan sahaja bertentangan dengan perlunya dasar dan strategi baharu untuk memerangi Covid-19 berdasarkan ‘Hidup dengan Covid’ dan bukan ‘Zero Covid’, tetapi juga penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.