Minta Muhyiddin buat macam anda buat di Perak, Faizal diberitahu

Minta Muhyiddin buat macam anda buat di Perak, Faizal diberitahu

Bekas MB Perak, Ahmad Faizal 'lebih bagus' kerana tidak menyekat usul undi percaya terhadapnya di DUN Perak tahun lalu, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat.

Wong Kah Woh berkata, Ahmad Faizal “lebih bagus” daripada Muhyiddin kerana beliau tidak menyekat usul undi percaya terhadapnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tahun lalu.
PETALING JAYA:
Ahmad Faizal Azumu patut menasihati presiden partinya, Muhyiddin Yassin untuk menguji sokongan terhadapnya di Parlimen, seperti yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar Perak itu November lalu, kata seorang Ahli Parlimen.

Dalam respons terhadap laporan Timbalan Presiden Bersatu yang menafikan Parlimen ditangguh atas kebimbangan mengenai kestabilan kerajaan, Ahli Parlimen Ipoh Barat Wong Kah Woh berkata, beliau “silap sama sekali”.

“Jelas bahawa Covid-19 hanya digunakan sebagai alasan untuk Perdana Menteri bersembunyi daripada sidang Parlimen pada Isnin, walaupun pada hakikatnya kerajaan mengadakan sidang lima hari yang dirancang dengan baik supaya tiada undian dapat diadakan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Ahmad Faizal “lebih bagus” daripada Muhyiddin kerana beliau tidak menyekat usul undi percaya terhadapnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tahun lalu.

“Beliau mungkin telah kehilangan undi percaya dan meletak jawatan, namun beliau mencipta nama bagi dirinya sebagai Menteri Besar Perak pertama yang cukup berani berdepan undi percaya di DUN,” kata Wong.

Katanya lagi, negara perlu menyelesaikan krisis perlembagaan semasa dengan segera, sambil menambah, ia tidak lagi dapat dipanjangkan semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan politik Muhyiddin.

Pentadbiran Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak tumbang apabila gagal memperoleh sokongan majoriti wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri akhir tahun lalu.

Dalam undian yang dipengerusikan Speaker DUN Perak Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 Ahli DUN menyokong kepimpinan Faizal, berbanding 48 yang membantah dan 1 undi rosak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.