
Menerusi video itu, suara terbabit mendakwa kerajaan cuba menghapuskan masyarakat India melalui vaksin yang berlainan dan bukannya Covid-19.
Menyifatkan ia satu tindakan yang hina, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata sesiapa yang menyunting video atau meniru suaranya jelas telah menyalahgunakan bakat mereka, sambil mempersoalkan apakah ia dihasilkan oleh musuh politiknya.
Dalam video aplikasi Tik Tok sebagai menjawab kepada video tular itu, beliau berkata ada individu cuba meniru suaranya dengan niat jahat dan kejam.
“Ini jelas bukan suara saya. Anda boleh menyemak semua video saya di Tik Tok,” katanya.
Video dalam bahasa Tamil itu menjadi tular di media sosial. Suara dalam klip tersebut mendakwa bahawa kerajaan Perikatan Nasional sedang berusaha untuk menghapuskan kaum India di negara ini.
Mendakwa kaum India telah diberi vaksin Covid-19 yang lain daripada yang lain, suara itu berkata kaum India akan “bungkus” (selesai/mati) dalam dua tahun.
Ketika dihubungi FMT, beliau berkata beliau akan membuat laporan polis.
“Saya rasa sesiapa yang mempunyai bakat ini patut menggunakannya secara positif dan membangunkan perniagaan yang sah dan berkembang maju. Dia atau kumpulannya mempunyai bakat untuk berjaya dalam bidang ini,” katanya.