
Polis menutup beberapa laluan masuk ke Dataran Merdeka susulan tunjuk perasaan itu yang menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ramai dalam kalangan penunjuk perasaan membawa kain rentang dan plakad yang tertera “Kerajaan Gagal”.
Teriakan “Tolak Muhyiddin”, “Letak Jawatan” dan “Bangkit Rakyat” bergema ketika para penunjuk perasaan mula bergerak menuju Dataran Merdeka.

Naib Presiden PKR Tian Chua adalah antara ahli politik yang hadir, katanya sebagai tanda solidariti dengan para penunjuk perasaan, yang kebanyakannya golongan belia.
Bekas Ahli Parlimen Batu itu memberitahu FMT, beliau ingin melihat lebih ramai rakyat Malaysia dan golongan belia bersuara menentang ketidakadilan dan mendorong perubahan di Putrajaya.
“Kita sedang melihat kemunculan gelombang baharu aktivisme belia. Ini adalah sesuatu yang harus kita banggakan,” katanya ketika ditemui.
Dataran Merdeka ‘milik rakyat’
Setibanya kumpulan penunjuk perasaan di Dataran Merdeka, polis menyekat kemaraan mereka ke dalam kawasan itu.
Seorang pegawai di perhimpunan berkenaan memberitahu FMT, Dataran Merdeka adalah “kawasan yang diwartakan dan memerlukan izin daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)”.
Ratusan lagi telah menyertai para penunjuk perasaan yang mula berkumpul pada 11 pagi, dengan penganjurnya mendakwa lebih 1,000 hadir.
Di Telegram, kumpulan sembang “#Lawan Malaysia berkata, ia kini sedang berunding untuk mendapatkan kebenaran memasuki Dataran Merdeka.

“Dataran keramat milik rakyat,” katanya.
Penunjuk perasaan #Lawan turut menggesa pengguna media sosial untuk membantu mereka memasuki Dataran Merdeka dengan memberi “tekanan” terhadap pihak polis menggunakan tanda pagar #BukaDataran.
Selain mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan keseluruhan Jemaah Menterinya meletak jawatan, penunjuk perasaan turut menyeru agar sidang Parlimen diadakan secara penuh dan moratorium pinjaman automatik diberikan kepada semua.
Tunjuk perasaan berakhir pada 12.40 tengah hari tadi, dengan para peserta bersurai secara aman.