
Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim, berkata individu berkenaan diarah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, dalam tempoh terdekat.
Azmi berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan selepas menerima satu laporan polis berkenaan perhimpunan itu, jam 3.04 petang tadi.
“Jika cukup keterangan, individu tersebut akan dikenakan tindakan kompaun di atas kesalahan mengikut Seksyen 21A Akta 342 dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPB) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semalam, polis sudah pun memberi amaran agar tiada sebarang perhimpunan dibenarkan kerana negara masih berada dalam tempoh PPN dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan sebarang perhimpunan dan berhimpun di sekitar ibu negara.
Pada jam 10.30 pagi tadi, dianggarkan seramai 450 orang berkumpul di Dataran Masjid Jamek, Kuala Lumpur, dan berarak melalui Jalan Tun Perak menuju ke Jalan Raja, sambil membawa kain rentang tertulis ‘Kita mati dalam derhaka, #keluardanlawan dan Lawan Koruptor’.
Perhimpunan ini berlangsung lebih kurang dua jam.
“Polis menasihatkan orang ramai agar mematuhi SOP PPN dan tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan memandangkan ancaman pandemik Covid-19 masih melanda negara,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Azmi berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 14 saat yang memaparkan perarakan beramai-ramai di jalan yang dikatakan berlaku di ibu negara.
“Semakan pihak polis mendapati, kejadian tersebut tidak berlaku di Kuala Lumpur dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan sesuatu perkara yang tidak sahih kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya.