PM ucap tahniah kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, rangkul gangsa di Olimpik

PM ucap tahniah kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, rangkul gangsa di Olimpik

Muhyiddin Yassin berharap pencapaian pasangan beregu itu mampu menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada atlet-atlet negara yang lain untuk memburu kilauan pingat seterusnya.

Aaron-Wooi Yik merangkul pingat gangsa selepas menewaskan pasangan nombor dua dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung hampir sejam. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Kejayaan manis diraih pasangan beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang menghadiahkan gangsa, pingat pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo, menarik perhatian Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang mengucapkan tahniah kepada gandingan negara serta barisan kejurulatihan kem badminton itu percaya pencapaian pasangan beregu itu mampu menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada atlet-atlet negara yang lain untuk memburu kilauan pingat seterusnya.

“Tahniah Malaysia! Syabas Aaron Chia-Soh Wooi Yik! Kemenangan dan sumbangan pingat yang amat diharap serta dinanti-nantikan oleh seluruh peminat sukan tanah air.

“Buat pasangan muda kita ini, teruskan usaha dan berjuanglah demi negara. Anda telah membuktikan yang negara boleh menaruh harapan kepada anda. Tahniah, anda kebanggaan Malaysia! Demi Malaysia! Demi Malaysia! Demi Malaysia!,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam ini.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican turut merakamkan ucapan tahniah kepada beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menghadiahkan pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata walaupun tidak berjaya mempertahankan pingat perak yang dimenangi Goh V Shem-Tan Wee Kiong di Rio 2016, namun kesungguhan dan semangat juang dipamerkan oleh Aaron-Wooi Yik sepanjang kempen di Tokyo cukup membanggakan.

“Tahniah Aaron dan Wooi Yik atas kalungan pingat gangsa. Alhamdulillah. Rezeki hari kesembilan temasya ini akhirnya menghadirkan pingat pertama buat negara.

“Saya dapat lihat tadi kesungguhan Aaron dan Wooi Yik dengan aksi persembahan yang cukup bertenaga. Saya tahu bukan mudah untuk berhadapan dengan lawan berpengalaman lebih-lebih lagi ini adalah penampilan pertama pasangan negara ini ke Olimpik.

“Pastinya seluruh rakyat Malaysia bergembira dan berbangga dengan kejayaan ini. Tahniah Aaron-Wooi Yik. Teruskan usaha. Jadikan kejayaan ini sebagai pembakar untuk mencipta lebih banyak kegemilangan #DemiMalaysia,” demikian reaksinya di Facebook.

Aaron-Wooi Yik merangkul pingat gangsa selepas menewaskan pasangan nombor dua dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung hampir sejam itu.

Reezal Merican turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih mereka Flandy Limpele yang menabur bakti melatih beregu mencapai tahap meraih pingat Olimpik dalam penampilan pertama, selain mendoakan kejayaan buat barisan atlet negara yang masih meneruskan perjuangan di Tokyo.

Aaron-Wooi Yik bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk merangkul gangsa selepas menewaskan pasangan Indonesia yang juga pilihan kedua, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung hampir sejam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.