
Dalam keputusan majoriti 2-1, hakim Abdul Rahman Sebli dan Zabariah Mohd Yusof berkata, rayuan itu sekadar bersifat akademik kerana perintah reman 21 hari yang dikeluarkan terhadap Alvin Goh Leong Yeong telah pun luput dan digantikan dengan perintah lanjutan selama 38 hari.
Selain itu, Seksyen 4 POCA mematuhi Perlembagaan, manakala responden – yang turut termasuk seorang majistret – telah mematuhi prosiding reman.
Susulan itu kata mahkamah, isu pelanggaran Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan tidak timbul.
Hakim Vernon Ong Lam Kiat dalam penghakiman bertentangan berkata, majistret terlibat tidak mematuhi garis panduan perintah reman ketika Goh dibawa menghadapnya.
Keputusan itu dibuat secara dalam talian selepas kedua-dua pihak selesai penghujahan mereka bulan lalu.
Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti, Farah Ezlin Yusoh Khan dan Nur Jihan Mohd Azan hadir bagi pihak responden, iaitu Pegawai Penyiasat Khairul Fairoz Rodzuan, seorang majistret di Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan.
Goh, 32, diwakili peguam Gopal Sri Ram, Gobind Singh Deo, Jacky Loi Yap Loong dan Yasmeen Sho Sha Nisse.
Permohonan Goh ditolak oleh Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid pada 16 Nov lalu.
Sri Ram berhujah bahawa perintah reman di bawah Seksyen 4 adalah tidak berperlembagaan seterusnya sebarang perintah dibuat menggunakannya adalah terbatal.
Katanya, peruntukan itu menyekat kuasa kehakiman majistret.
Goh yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan habeas corpus pada 3 November memohon segera dibebaskan daripada penahanan selama 21 hari mengikut POCA.
Katanya, tangkapan dan penahanannya pada 27 Oktober lalu mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(a) POCA pada 31 Oktober adalah tidak sah, tidak mematuhi prosedur dan mala fide (berniat jahat).
Dia turut memohon perintah bahawa reman bertarikh 31 Oktober yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, yang membenarkan penahanannya selama 21 hari di bawah POCA, adalah tidak sah.
SPRM telah menahan lebih 20 orang termasuk lapan pegawai dan anggota polis bersama Goh kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram serta penipuan pelaburan, penukaran mata wang asing dan Macau Scam yang dijalankan sindiket dari China.
Pada 11 Okt, SPRM membebaskan semua suspek dengan jaminan, tetapi Goh melarikan diri dari Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya ketika polis menunggu untuk menangkapnya semula.
Polis kemudian membebaskan Goh sebelum menangkapnya semula pada 27 Oktober.